Harimau Selatan mahu berpesta di Alor Setar malam ini

Harimau Selatan mahu berpesta di Alor Setar malam ini

PEMAIN JDT sudah menjalani latihan akhir di Johor Bahru kelmarin dalam persiapan menghadapi Kedah pada aksi Liga Super di Alor Setar malam ini. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu Stadium Darul Aman menjadi saksi pasukannya berpesta menjulang trofi Liga Super buat musim ke-10 berturut-turut malam ini.

Setelah mengutip 60 mata maksimum dengan memena­ngi semua 20 perlawanan, JDT hanya memerlukan tiga mata apabila berdepan Kedah untuk dinobat sebagai juara.

Solari sedar skuad bimbi­ngan Nafuzi Zain itu sanggup melakukan apa sahaja bagi menyekat hajat mereka berpesta di Alor Setar, dan me­rangkul gelaran kedua musim ini selepas Piala FA.

“Kami sedar ini perlawanan penting buat JDT kerana pasukan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk bergelar juara, ia tidak ubah se­perti aksi final.

“Kami juga sedar Kedah tidak akan beri laluan mudah, setidak-tidaknya bukan di laman mereka.

“Jadi, kami perlu bersedia secara mental dan fizikal untuk berdepan apa sahaja helah yang mereka akan gunakan.

“Sudah tentu Kedah akan memberi tekanan hebat dan dalam masa sama JDT juga akan bermati-matian untuk memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong, sesuatu yang tidak pernah terjadi musim ini,” kata Solari.

Pengendali kelahiran Argentina itu sudah membuat persiapan rapi sejak Isnin lalu bagi memastikan pemain di tahap terbaik dan merencana strategi ampuh untuk me­ngutip tiga mata.

Katanya, moral semua pemain Harimau Selatan kini ­berada di tahap tertinggi selepas berjaya mencatat rekod jari­ngan terbesar musim ini dengan membelasah Kelantan FC 10-0 pada aksi kedua ­pusingan 16 Piala Malaysia, Sabtu lalu.

“Tidak dinafikan Sang Kenari merupakan pasukan yang liat untuk ditundukkan lebih-lebih lagi apabila mereka ­beraksi di gelanggang sendiri, semangat juang mereka jadi berganda.

“Tambahan pula mereka dibarisi ramai pemain berkualiti yang perlu diberikan tumpuan.

“Ia pastinya menjanjikan pertemuan yang sengit dan kami ada bersiap sedia untuk menempuhi cabaran ini dan memberikan persembahan terbaik yang berintensiti tinggi, seperti selalu kami lakukan.

“Kita ada misi yang jelas pada Sabtu ini (malam ini), iaitu menumbangkan Kedah di tempat mereka sendiri, saya akan pastikan pemain bersedia untuk memenangi pertemuan itu,” tegasnya.

Kedah yang kini berada di tangga ketiga dengan ­mengumpul 43 mata, tewas 6-0 kepada JDT dalam aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 April lalu.

Satu lagi kekalahan akan memberi kesan kepada misi mereka untuk berada dalam kelompok tiga terbaik liga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN