LONDON: Setiap pemain England akan menerima habuan lumayan jika menumpaskan Sepanyol dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia Wanita, Ahad ini.
Skuad The Lionesses mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas menewaskan tuan rumah Australia 3-1 di Sydney kelmarin.
Setiap pemain England akan menerima ganjaran 213,000 pound (RM1.26 juta) seorang daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika muncul juara.
Begitupun, kerajaan Britain mengesahkan tiada cuti umum diberi sekalipun England muncul juara dunia berbeza ketika mereka merangkul gelaran Eropah tahun lalu.
The Lionesses yang muncul juara Eropah tahun lalu menjadi pasukan senior England pertama yang mara ke final Piala Dunia sejak kali terakhir skuad lelaki melakukannya pada 1966.
“Kami mara ke final! Ia sukar dipercayai. Rasa seperti sudah muncul juara walaupun hanya memenangi perlawanan (separuh akhir).
“Bermain di stadium yang luar biasa, di tempat lawan, cara kami bermain dan ia perlawanan yang sukar tetapi kami menamatkan dengan kemenangan.
“Australia pasukan luar biasa, mereka mencipta banyak kejutan pada kejohanan ini dan menunjukkan peningkatan,” kata pengurus England, Sarina Wiegman.
England bermula garang menerusi rembatan Ella Toone dalam kotak penalti pada minit ke-36.
Begitupun kapten Australia, Sam Kerr ‘membakar’ semangat pemain tuan rumah dengan meledak gol penyamaan dari jarak 30 ela di minit ke-63.
Kegembiraan penonton di Stadium Australia tidak bertahan lama apabila pertahanan Matildas gagal menyekat hantaran jauh England tujuh minit kemudian.
Lauren Hemp melepaskan rembatan ke penjuru gawang lawan untuk kembali meletakkan England di depan sebelum Alessia Russo membuatkan ribuan penyokong Australia terdiam dengan meledak gol ketiga England di minit ke-86.
“Kejayaan ini seolah-olah seperti kisah dongeng dalam hidup saya.
“Ini harapan semua orang Inggeris untuk melihat kami di final, kita akan lakukan segalanya pada perlawanan akhir nanti,” kata Wiegman. – AGENSI