SHAH ALAM: Arab Saudi bakal menjadi ujian terakhir Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala Asia di Qatar, Januari depan, selain dijangka bertemu Oman.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, Malaysia akan menentang Arab Saudi di Doha pada 3 Januari, makala pertemuan dengan Oman belum dimuktamadkan.
“Kita memang pasti akan menentang Arab Saudi di Doha pada 3 Januari dan selepas itu kita akan terbang ke Oman untuk menentang skuad kebangsaan negara itu.
“Sama ada kita satu kumpulan dengan Oman atau tidak, saya berpendapat ia sesuatu yang bagus untuk kita kerana ia akan dimainkan secara tertutup. Ini masanya untuk Kim Pan Gon melihat semula pasukan, tukar taktikal ataupun buat penambahbaikan.
“Dalam bola sepak moden, setiap pasukan boleh lihat pasukan lawan melalui pelbagai cara sama ada menerusi video dan sebagainya,” katanya pada Majlis Perasmian Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 di Stadium UiTM, hari ini.
Pada pusingan akhir Piala Asia, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Jordan di Stadium Ahmad bin Ali pada 15 Januari. – UTUSAN ONLINE