BRISBANE, Australia: Pengendali England, Sarina Wiegman mempertahankan tindakan tidak disengajakan Lauren James dan berharap dia belajar daripada kesilapan besar yang dilakukan gara-gara memijak pemain Nigeria, Michelle Alozie.
Kekasaran tersebut menyebabkan penyerang Chelsea itu dilayangkan kad merah pada minit ke-87 dan bakal berdepan pergantungan tiga perlawanan, sekali gus terlepas baki saingan Piala Dunia Wanita.
Di sebalik insiden kad merah itu, skuad Lionesses yang beraksi dengan 10 pemain masih mampu mara ke suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada waktu sebenar permainan kelmarin.
“Itu pengajaran besar untuk dipelajari tetapi ia bukanlah sesuatu yang dia lakukan dengan sengaja. Dia orang yang baik.
“Itu akan berlaku kadang-kadang kepada manusia, mereka berada dalam tekanan yang tinggi, permainan beremosi, dan dalam sekelip mata dia kehilangan kawalan emosinya.
“Dia telah meminta maaf dan berasa sangat teruk tetapi dia tidak berniat menyakiti sesiapa,” kata Wiegman.
James, 21, muncul antara pemain terbaik England dalam saingan Piala Dunia kali ini, dan salah seorang bintang muda yang menonjol.
Dia meledak dua gol ketika England membelasah China 6-1 dan itu adalah jaringan pertamanya dalam pentas Piala Dunia.
James juga menyinar ketika menentang Denmark di peringkat kumpulan apabila meledak gol tunggal kemenangan juara Eropah itu.
Kad merah diterima kelmarin menyaksikan dia berdepan penggantungan automatik satu perlawanan tetapi badan bola sepak dunia, FIFA mempunyai kuasa melanjutkannya kepada tiga perlawanan.
Tindakan James mengingatkan penyokong England kepada insiden yang pernah menimpa skuad lelaki mereka dalam Piala Dunia 1998.
Pada aksi pusingan 16 akhir, David Beckham menendang pemain Argentina, Diego Simeone, dan menyebabkan dia dilayangkan kad merah. – AGENSI