PETALING JAYA: Perjalanan barisan muda pemain bola sepak wanita negara di Kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) tahun Wanita terhenti di peringkat kumpulan selepas dibelasah Vietnam dengan keputusan 6-0 hari ini.
Momentum kemenangan tipis 1-0 ke atas Singapura pada perlawanan pembukaan Kumpulan B tempohari gagal diteruskan dalam aksi yang berlangsung Stadium Gelora Sriwijaya, Jakabaring, Indonesia apabila gawang skuad negara mula dibolosi Vietnam seawal minit ke 21 menerusi sepakan penalti Vu Thi Hua.
Ngoc Minh Chuyen meletakkan Vietnam semakin selesa di hadapan pada minit ke 25 untuk menutup aksi di babak pertama dengan pasukan itu mendahului Malaysia dengan keputusan 0-2.
Vietnam terus mengganas di babak kedua untuk meledak empat lagi jaringan apabila Chuyen sekali lagi meledak pada minit ke 53.
Anak buah Cameron Ng semakin longlao apabila Nguyen Thuy Linh dan Hoang Thi Ngoc Anh menggegar gawang Malaysia pada minit ke 67 dan 79.
Chuyen melengkapkan hatriknya pada minit ke 88 sekaligus menutup perlawanan dengan keputusan 0-6 ke atas skuad negara.
Kekalahan besar ini menutup peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir sebagai pasukan tempat kedua terbaik apabila berada di belakang Myanmar dan Kemboja dari segi perbezaan jaringan.