PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) yang pada mulanya mahu melepaskan Kylian Mbappe sedia membuat pusingan U dengan menawarkan lanjutan kontrak lumayan mencecah 1 bilion euro (RM5.07 bilion) untuk tempoh 10 tahun.
Jika tawaran itu diterima, ia akan menjadi kontrak sukan termahal dalam sejarah, sekali gus meletakkan Mbappe mengungguli senarai Atlet Bergaji Tertinggi Dunia Forbes setiap tahun.
Mbappe, 24, kelihatan hampir menyertai gergasi La Liga, Real Madrid menjelang musim lalu apabila tempoh lima tahun yang dipersetujuinya ketika tiba dari Monaco pada 2017 hampir tamat.
Bagaimanapun pada saat akhir, pemenang pemenang Piala Dunia 2018 itu menolak tawaran Presiden Real, Florentino Perez dan menyambung kontrak di Parc Des Princes.
Mbappe diarak di stadium dengan jersi kelab yang tertera namanya dan nombor 2025 tetapi ini mengelirukan kerana kontraknya hanya berjalan sehingga 2024 dengan tambahan 12 bulan pilihan.

Pada pertengahan Jun, gelombang kejutan dihantar ke seluruh dunia bola sepak apabila L’Equipe melaporkan Mbappe menghantar surat kepada PSG yang menjelaskan dia tidak berhasrat untuk memperbaharui kontrak.
Mbappe mengesahkan perkara itu, sekali gus yang meletakkan Real dalam keadaan berjaga-jaga sekali lagi. Namun kemudian, dia juga berkata,dia tidak mahu meninggalkan PSG sekarang dan merancang untuk bermain kempen 2023/2024 untuk PSG.
Terdapat juga laporan yang mengatakan juara Ligue 1 itu telah memberi kata dua kepada Mbappe sama ada dia komited dengan melanjutkan kontrak atau akan dijual pada musim panas ini.
Sky Sports melaporkan bahawa tawaran itu membuatkan Mbappe menjanjikan masa depannya kepada PSG sekurang-kurangnya sehingga 2025.
Begitupun menurut Defensa Central, kelab itu telah membentangkan pakej 10 tahun dengan nilai 1 bilion euro (RM5.07 bilion) yang pada asasnya kontrak seumur hidup dan akan menjadi yang terbesar dalam sejarah sukan. – AGENSI