PETALING JAYA: Kurang enam bulan sebelum menghadapi cabaran getir Piala AFC di Qatar, Harimau Malaya terus menerima tonik terpaksa apabila menunjukkan peningkatan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hari ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon naik satu lagi anak tangga dengan berada pada kedudukan ke-136 dunia.
Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
“Kemas kini terbaharu ranking FIFA)hari ini, Malaysia di tangga 136 dunia.
“Berjaya naik satu anak tangga berbanding 137 pada kemas kini terdahulu, 29 Jun 2023. Kemas kini seterusnya 21 September 2023,” kata FAM.
Vietnam dengan 1,238.23 mata kekal sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara dengan menghuni ranking ke-95 dunia, diikuti Thailand (113) dengan 1,174.37 mata, manakala Filipina yang mengumpul 1,091.57 mata di kedudukan ke-135.
Malaysia pula mengutip 1,091.57 mata, berada di atas Indonesia (150) yang mengumpul 1,047.46 mata, diikuti Singapura (158), Myanmar (160) dan Kemboja (176).
Kenaikan satu anak tangga itu sedikit sebanyak menunjukkan peningkatan positif diperagakan skuad kebangsaan di bawah bimbingan Pan Gon.
FAM sebelum ini menyasarkan anak-anak buah Pan Gon akan berada dalam kelompok 120 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE