PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui moral pasukannya terjejas ekoran penggantungan Faisal Halim untuk tempoh yang lama, termasuk dalam pertemuan genting menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.
Ketiadaan pemain sayap lincah itu bukan sahaja menjejaskan taktikal, malah menjatuhkan moral pemain untuk mengekalkan kedudukan Red Giants di tangga kedua liga dalam baki lapan perlawanan.
Kata Cheng Hoe, berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tanpa kelibat Faisal lebih menyukarkan pasukannya, apatah lagi dua pertembungan mereka sebelum ini memihak kepada Harimau Selatan.
Selangor dibelasah 4-0 dalam perlawanan pertama liga di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu sebelum tewas dengan jaringan sama pada separuh akhir Piala FA di SSI, 26 Jun lalu.
“Memang berat…Satu perlawanan yang amat mencabar, bukan mudah untuk beraksi menentang JDT.
“Kita sebelum ini kalah kepada mereka dua kali kerana JDT ada kekuatan dan berada pada prestasi terbaik, berada di puncak liga dan baru sahaja julang Piala FA.
“Mana-mana pasukan apabila lawan JDT, sama ada bertahan atau menyerang mereka tetap kalah juga.
Skuad #GergasiMerah sudah berlepas untuk perlawanan #LS18! ❤️💛🤲🏽#MKLK#KitaSelangor#LigaSuper2023#LigaMalaysia2023 pic.twitter.com/OFBGyYVU7c
— Selangor FC (@selangorfc) July 28, 2023
Jadi, sukar untuk kita buat percaturan yang baik. Saya akan gunakan sesi latihan terakhir untuk rangka strategi terbaik untuk pasukan.
“Kita juga kehilangan Faisal untuk perlawanan ini, dia tonggak utama di bahagian serangan. Namun, sebagai jurulatih, saya kena cari pilihan lain untuk ganti tempat dia, ini juga peluang untuk pemain lain buktikan kemampuan masing-masing.
“Sedikit sebanyak ketiadaan Faisal menjejaskan moral pasukan tetapi dalam bola sepak dan mana-mana pasukan dalam dunia sekalipun, ia adalah normal. Ada pemain ternama yang cedera jadi kena ganti pemain lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.