JOHOR BAHRU: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak kecewa dengan persembahan pemainnya yang beraksi seperti dalam sesi latihan ketika dilanyak 6-1 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super kelmarin.
Walaupun turun tanpa lima tonggak, aksi longlai itu sama sekali tidak boleh diterima, terutama selepas The City Boys dibolosi empat gol pada babak pertama.
“Mereka bermain seperti latihan atau aksi persahabatan, tidak memberi tekanan kepada lawan, tidak agresif atau melakukan kekasaran bagi menyekat kemaraan JDT. Mereka bertandang ke sini seperti sedang bercuti.
“Hanya ada beberapa pemain beraksi baik, selebihnya tidak menunjukkan komitmen dan kesungguhan di atas padang.
“Apabila pemain tidak memberi tumpuan penuh, sudah tentu mereka akan dihukum pasukan lawan dan ini dapat dilihat pada perlawanan ini.
“Pemain juga kerap melakukan kesilapan sehingga membenarkan gawang dibolosi dua kali dalam tempoh dua minit.
“Ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ketika berdepan lawan seperti JDT yang bijak menghidu peluang,” katanya.

Hodak turut membidas jentera serangan KL City yang dilihat tidak agresif dan dahagakan jaringan selepas mempunyai satu percubaan tepat ke arah gol pada babak pertama.
Kata Hodak, beliau akan memilih kesebelasan utama terbaik berdasarkan persembahan terkini pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang JDT pada 22 Julai ini.
Dalam masa sama, dia berharap beberapa pemain utama seperti Paulo Josue, Giancarlo Gallifuoco serta gandingan adik beradik, Ryan dan Declan Lambert dapat diturunkan pada perlawanan penting itu.