KUALA LUMPUR: Selepas beberapa calon ‘ditemuduga’ dan pelbagai nama dipetik sebagai bakal pemilik baharu Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi bayangan tidak akan menjual The Red Warriors (TRW).
Pemilik TRW itu sebaliknya hanya mencari rakan kongsi untuk bekerjasama membangunkan kelab Pantai Timur tersebut.
Begitupun penyokong Kelantan FC terpaksa menunggu bagi mengetahui status individu yang dikaitkan akan bekerjasama dengan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Beliau mengambil pendekatan untuk berahsia mengenai status individu terbabit dan hanya akan mengumumkan perkembangannya pada masa yang sesuai nanti.
Begitupun penegasan Norizam menyatakan individu terbabit adalah ‘orang bola’ dan sudah terbabit dalam industri bola sepak di negara ini pasti melegakan penyokong TRW.
“Mengenai pelabur (baharu) yang akan membeli saham Kelantan FC, orang (individu) itu orang bola sepak.
“Cuma saya tidak boleh umumkan hari ini (semalam) dan biarlah (diumumkan) di venue yang lain,” katanya semalam.
Utusan Malaysia difahamkan, individu yang dikaitkan sebagai pelabur baharu Kelantan FC itu adalah ahli perniagaan yang juga penaja utama pasukan bawah 23 tahun (B-23) TRW, Datuk Dr Ally Nawawi Jusoh.
Pasukan yang pernah mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga M) itu sebelum ini diintai dua pihak yang berminat untuk menjadi pemilik baharu pasukan terbabit.
Dua pihak terbabit adalah jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan.
Begitupun setakat ini, belum ada sebarang keputusan muktamad mengenai pengambilalihan itu.
Kedua-dua individu itu juga sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Norizam.