PETALING JAYA: Jaringan cantik Safawi Rasid ketika meledak gol ketiga Malaysia dalam aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon, dua minggu lalu berjaya meraih perhatian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
FIFA dalam Twitter rasminya hari ini membuat naik video jaringan Safawi sambil memuji kemahiran yang dipamerkan bintang Harimau Malaya itu.
“Kemahiran yang mengagumkan daripada pemain Malaysia, Safawi Rasid,” tulis badan bola sepak dunia tersebut.
Safawi yang dibawa masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua meledak gol pada minit ke-77 untuk membantu skuad bimbingan Kim Pan Gol membena, Kepulauan Solomon 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 14 Jun lalu.
Jaringan tersebut mencuri tumpuan ramai apabila Safawi mengawal kemas hantaran Lee Tuck dari sebelah kanan, mengatasi dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan deras kaki kiri ketika bola belum jatuh ke tanah.
Unbelievable skills from Malaysia's Safawi Rasid 🇲🇾pic.twitter.com/7qHqo2y83l
— FIFA (@FIFAcom) June 30, 2023
FIFA juga beranggapan jaringan itu ‘layak’ untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas FIFA bersama beberapa lagi jaringan yang turut dikongsi badan induk itu menerusi Twitternya.
“Kita sudah melihat beberapa pencabar bagi Anugerah Puskas pada bulan Jun,” katanya.
Antara jaringan lain yang turut menarik perhatian FIFA adalah jaringan lipat pemain Botafogo, Guilherme Madruga, rembatan voli pemain Cincinnati FC, Alvaro Barreal dan percubaan jarak jauh Lucas Zelarayan yang menerjah jaring bersama Columbus Crew.
Pemain wanita juga tidak ketinggalan menerusi gerakan solo pemain Amerika Syarikat, Sophia Smith ketika beraksi bersama pasukannya, Portland Thorns FC. – UTUSAN ONLINE