MANCHESTER: Penjaga gol prolifik, David De Gea sah meninggalkan Manchester United selepas 12 tahun menabur bakti bersama pasukan itu.
Kontrak pemain berusia 31 tahun itu telah tamat pada Jun lalu tanpa sebarang ikatan perjanjian baharu biarpun terdapat perbincangan diadakan antara pihaknya dan United.
De Gea yang berpindah dari Atletico Madrid pada 2011 telah melakukan 545 penampilan bersama United.
Penjaga gol Sepanyol itu turut memecahkan rekod tanpa bolos milik legenda kelab, Peter Schmeichel pada musim lalu sehingga menyaksikan dia dianugerahkan dengan Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga serta menghargai segala kasih sayang yang telah dicurahkan sejak 12 tahun lalu.
“Kami telah mencapai banyak kejayaan sejak Sir Alex Ferguson membawa saya masuk ke dalam pasukan ini. Saya berasa bangga setiap kali menyarung jersi pasukan ini, untuk mengetuai pasukan, dan mewakili institusi ini, sebuah pasukan terbesar di dunia, pastinya satu penghormatan yang hanya diraih beberapa pemain bola sepak.
“Ia satu tempoh yang tidak akan dilupakan dan penuh kejayaan sejak saya berada di sini. Saya langsung tidak pernah terlintas untuk meninggalkan Madrid di usia yang muda dan mampu untuk mencapai kejayaan ini bersama-sama.
“Kini masanya untuk saya mengambil cabaran baharu, untuk berusaha menyesuaikan diri dalam suasana baharu semula.
“Manchester akan sentiasa berada di dalam hati saya, Manchester telah membentuk diri saya dan ia tidak akan meninggalkan saya,” jelas De Gea menerusi media sosialnya.