De Gea berpisah dengan MU tapi diminta jangan sertai kelab lain

De Gea berpisah dengan MU tapi diminta jangan sertai kelab lain

DAVID De GEA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: David de Gea diminta untuk tidak menyertai kelab lain walaupun kontrak 12 tahun bersama Manchester United (MU) akhirnya tamat semalam.

Red Devils meminta pemain itu bertahan sekiranya mereka tidak dapat mencari penjaga gol nombor satu yang baharu dan sesuai dengan bajet perpindahan kelab.

Pemain berusia 32 tahun itu pada mulanya bersetuju untuk kekal di Old Trafford dan me­nerima pengurangan gaji daripada 375,000 pound (RM2.2 juta) kepada 200,000 pound (RM1.2 juta) seminggu.

Begitupun tawaran tersebut ditarik balik oleh pengurus ­United, Erik ten Hag yang mahukan penjaga gol baharu.
Pencarian itu bagaimanapun berdepan kekangan bajet kerana pihak pengurusan mahu keutamaan diberikan untuk posisi serangan.

“Kontrak David de Gea sudah tamat tapi rundingan masih terbuka dengan penjaga gol itu yang sudah lama berkhidmat,” kata United dalam satu kenya­taan.

United membuat pembelian pertama pada musim panas minggu ini dengan mendapatkan bintang tengah England, Mason Mount pada harga 55 juta pound (RM326 juta).

Jumlah itu mengambil hampir separuh daripada 120 juta pound (RM711 juta) yang diperuntukan untuk membeli pemain seiring dengan peraturan kewangan bersih.

Itu bermakna, United menarik diri daripada rundingan mendapatkan ­Harry Kane daripada Tottenham yang mahu 100 juta pound (RM593 juta).

Seorang lagi pemain sasaran, Victor Osimhen dari Napoli juga berada di luar jangkauan mereka dengan juara Serie A tersebut meminta 150 juta pound (RM889 juta) bagi melepaskan penyerang Nigeria berusia 24 tahun itu.

Selain mendapatkan penye­rang berbakat, United juga ­terpaksa menangguhkan run­dingan bagi mendapatkan penjaga gol Inter Milan, ­Andre Onana dengan nilai 40 juta pound (RM237 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN