PETALING JAYA: Kejayaan Bertrand Rhodict Lises menjadi penerjun pertama Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik 2024 dalam acara 10 meter (m) platform lelaki pencapaian yang membanggakan.
Bekas ratu terjun negara, Datuk Leong Mun Yee berkata, kemampuan atlet berusia 18 tahun itu berdiri setanding penerjun berkelas dunia lain dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun minggu lalu wajar diberi pujian kerana acara tersebut sangat sukar dikuasai.
Ujar Mun Yee, langkah Rhodict menangguhkan pengajian ke Pra Universiti bagi memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia 2023 dan Sukan Asia 2023 ternyata berbaloi apabila dia kini tersenarai sebagai salah seorang atlet layak ke Paris 2024.

“Persembahan Rhodict sangat bagus, dan di separuh akhir pun dia sangat konsisten.
“Saya sangat gembira dia dapat ke Olimpik. Kalau diikutkan, acara itu bukannya senang sebab negara lain semua hebat.
“Tetapi saya lihat Rhodict selepas SPM, fokus dan usaha dia lebih kepada gaya terjunan.
“Dia sepatutnya masuk Pra Universiti tahun ini tapi dia tangguh sebab mahu beri tumpuan penuh kepada dua pertandingan besar. Jadi, kelayakannya ini sangat membanggakan.
“Di Olimpik, secara jujurnya acara ini susah untuk Malaysia dapat pingat sebab negara lain semua decree of difficulty mereka lebih tinggi daripada kita. Jadi selepas ini, Rhodict kena perbaiki perkara itu,” katanya.
Saingan yang berlangsung di Fukuoka Prefectural Pool, Jepun itu menyaksikan Rhodict menamatkan cabaran separuh akhir dengan catatan 420.70 mata, meletakkannya di kedudukan ke-10 daripada 18 peserta dan layak ke pusingan akhir.