Biar tak ramai, kami pastikan Kuala Lumpur ada 'pemain ke-12'

Biar tak ramai, kami pastikan Kuala Lumpur ada ‘pemain ke-12’

BIARPUN bakal menjadi minoriti di Stadium Sultan Ibrahim malam ini, namun penyokong Kuala Lumpur City tetap bersemangat untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun sedar mereka akan ‘tenggelam’ dalam lautan penyokong Harimau Selatan, lebih 2,000 peminat Kuala Lumpur City (KL City) yang berlepas ke Johor untuk menonton final Piala FA malam ini tetap membawa semangat membara.

Dengan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mampu menampung sehingga 40,000 penonton, sorakan ribuan penyokong tuan rumah pastikan akan menenggelamkan suara peminat The City Boys. 

Selain ‘kalah’ sorakan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Estaban Scolari juga memegang kelebihan di atas padang dengan pasukan mereka menjadi pilihan utama untuk menumbangkan KL City yang dilatih Bojan Hodak. 

KAIN rentang yang diharap mampu menaikkan semangat pemain KL City.

“Kami harapkan KL City dapat lakukan kejutan kerana kali terakhir menang Piala FA ialah pada 1999 dengan menewaskan Terengganu di final. Kalau menang kali ini, KL City akan jadi pasukan ketiga terbanyak menang Piala FA dibelakang Kedah dan Selangor.

“Memang saya akui, jumlah penyokong kita kurang berbanding JDT di SSI nanti. Jadi, kita alu-alukan jika ada penyokong negeri lain yang ingin memberi sokongan kepada KL City.

“Kita tahu, bila mereka ramai pasti stadium akan riuh dengan sorakan. Sudah tentu penyokong dan pemain KL City akan gerun namun, kami harap pemain tidak akan patah semangat dan berjuang habis-habisan.

“Jika dilihat prestasi JDT sekarang, mereka memang pasukan pilihan dan tugas berat menanti anak-anak buah Hodak, tetapi kita harap akan ada kejutan macam final Piala Malaysia 2021,” kata Ahli Kelab Penyokong KLFC, Ahmad Ruzaimee Abdul Rashid kepada Utusan Malaysia.

 Selain itu kata Ahmad Ruzaimee, semua penyokong KL City juga berharap Hodak akan sekali lagi menggunakan kepakarannya dalam saingan kalah mati, sekali gus menjerat JDT di SSI malam esok.

Untuk rekod, kali terakhir City Boys menjulang Piala FA ialah pada 1999 selepas menewaskan Terengganu menerusi penentuan penalti 5-3 dan itu juga penampilan terakhir mereka di pentas akhir saingan itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN