SEREMBAN: Negeri Sembilan FC tidak akan membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang akan bermula 5 Julai nanti.
Skuad Jang sebaliknya akan memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dari skuad Piala MFL (bawah 23) bagi membuktikan kebolehan.
“Satu mesyuarat pengurusan telah diadakan bersama YTM Tunku Pengerusi (Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri) dan secara sebulat suara bersetuju tidak membuat penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super 2023.
“Ini adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baharu skuad Piala MFL (B-23) membuktikan kebolehan mereka.
“Penilaian semula kedudukan pasukan juga akan dilakukan secara berkala selain daripada penambahbaikan pada masa hadapan akan dipertimbangkan mengikut kemampuan kewangan kelab,” kata kelab semalam.
Negeri Sembilan juga mengakui persediaan pasukan tahun ini agak lewat akibat kekangan kewangan yang dihadapi.
“Begitupun, pihak kelab sedaya upaya berusaha memastikan agar skuad Liga Super dapat menampilkan lima orang pemain import walaupun pada awalnya keputusan yang dibuat tiga orang pemain import sahaja.
“Secara tambahan, pihak kelab juga telah mencapai persetujuan bersama Vinicius Leonel untuk menamatkan kontrak pemain itu lebih awal selepas menyertai pasukan pada awal musim setelah menerima laporan prestasi kurang memuaskan daripada ketua jurulatih,” katanya.