LONDON: Bintang baharu Manchester City, Mateo Kovacic mahu membawa permainannya ke tahap lebih tinggi di bawah kendalian Pep Guardiola selepas menyertai pasukan terbaik dunia itu.
Kovacic, 29, menandatangani perjanjian empat tahun di Etihad selepas City bersetuju membayar Chelsea 25 juta pound (RM148 juta) ditambah 5 juta pound (RM29 juta) sebagai tambahan untuk tandatangannya.
Bintang tengah Croatia itu menjadi pemain pertama ditandatangani City pada musim panas ini, dan menyertai skuad yang memenangi treble menakjubkan musim lalu.
Kovacic membuat 221 penampilan bersama Blues sepanjang lima musim di Stamford Bridge, selain membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Europa.
“Ini satu langkah cemerlang untuk saya, dan saya tidak sabar hendak bermula bersama City. Sesiapa sahaja yang melihat pasukan ini di bawah Guardiola tahu betapa bagusnya mereka.
“City pasukan terbaik dunia, semua terbukti dengan deretan trofi yang telah mereka menang.
“Untuk menyertai skuad ini sememangnya impian bagi mana-mana pemain bola sepak.
“Saya tahu di bawah pengurusan Guardiola saya boleh menjadi pemain yang lebih baik, ia sangat mengujakan.
“Rancangan saya sekarang ialah berehat beberapa minggu sebelum kembali ke Manchester untuk bersiap sedia menghadapi musim baharu.
“Saya mahu membantu kelab ini kekal di puncak dan memenangi lebih banyak trofi,” katanya. – AGENSI