KOTA BHARU: Kelantan United tekad membaham The Red Warriors (TRW) pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV esok, sekali gus mencipta kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini.
Peluang tersebut tampak mampu direalisasikan selepas pretasi Kelantan FC berada dalam keadaan tidak menentu selain terpalit dengan pelbagai kontroversi melibatkan masalah dalaman.
Penolong ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor berkata, menjadi satu kerugian besar buat pasukannya jika gagal mengutip mata disaat TRW berdepan pelbagai masalah ketika ini.
“Saya beranggapan, Kelantan FC sangat liat untuk kami tewaskan. Lihat saja rekod kami ketika berdepan mereka sejak musim 2020, sangat sukar.

“Tetapi kali ini, berbeza, mereka ada banyak masalah. Ini peluang kami untuk keluar dari tangga tercorot Liga Super,” katanya.
Nazrulerwan memberitahu, Kelantan United kini berada di landasan terbaik untuk berdepan TRW selepas barisan pemainnya sudah pulih daripada kecederaan.
“Saya lihat mereka cukup bersemangat dan berkobar-kobar pada sesi latihan demi mencapai kejayaan sulung dalam saingan liga.
“Ini yang kami semua mahukan. Kami janji akan cuba memberikan aksi terbaik dan mencatatkan kejayaan dalam usaha pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super setelah 13 perlawanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE