LONDON: Pep Guardiola meraih satu lagi ‘pencapaian’ yang diidamkan selama ini selepas pelakon pujaannya, Julia Roberts secara terbuka memuji kejayaan besar Manchester City.
Ia bagaikan pengakhiran filem yang sempurna selepas Guardiola sebelum ini pernah meluahkan kekecewaan kerana Roberts tidak singgah ke Etihad ketika bintang Pretty Woman itu melawat Manchester.
“Tahniah @pepteam kerana memimpin pasukan anda menjadi juara UCL. #pep #soccermom.”
Itu pesanan Roberts di akaun Instagram beserta gambar Guardiola mencium trofi Liga Juara-Juara di Istanbul.

Guardiola adalah peminat Roberts dan dua bulan lalu, jurulatih dari Sepanyol itu menyuarakan rasa kecewa kerana idolanya hanya melawat Old Trafford, gelanggang keramat Manchester United.
“Dengar, saya akan beritahu satu rahsia. Walaupun kami memenangi Liga Juara-Juara dan tiga Liga Juara-Juara berturut-turut, saya tetap gagal.
“Saya akan beritahu anda sesuatu. Ada tiga idola dalam hidup saya iaitu Michael Jordan, Tiger Woods dan Julia Roberts.
“Julia tahun lalu datang ke Manchester. Bukan pada tahun 80-an atau 90-an ketika Sir Alex Ferguson memenangi gelaran demi gelaran.
“Dia datang dalam tempoh ketika kami lebih baik daripada United tetapi dia pergi melawat United,” kata Guardiola.

City merangkul kejuaraan Eropah pertama mereka selepas menumpaskan Inter Milan 1-0 kelmarin, sekali gus melengkapkan gelaran treble. – AGENSI