KUALA NERUS: “Jaringan ini adalah hadiah kepada isteri yang sedang mengandung dan harap peminat mendoakan segalanya berjalan lancar.”
Itu harapan pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid selepas membantu pasukan negara mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, semalam.
Menurut Safawi, kandungan isterinya, Syifa Melvin, 29, yang juga pelakon dan pempengaruh kini memasuki enam bulan selepas mereka sah bergelar suami isteri, 28 November tahun lalu.
Dalam perlawanan malam tadi, Safawi menjaringkan gol menerusi voli menarik sekaligus gol pertama sejak 14 Jun 2022 ketika bertemu Bangladesh dalam kelayakan Piala Asia.
Bekas pemain Ratchaburi FC itu kemudian meraikan jaringan dengan gaya tersendiri bagaikan memberi makna berita gembira untuk dikongsi bersama peminat Harimau Malaya.

“Ya, isteri sedang mengandungkan anak sulung. Jadi saya hadiahkan jaringan ini untuknya dan doakan kami agar selamat semuanya.
“Selepas meninggalkan Thailand, saya kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menggandakan latihan mengembalikan prestasi terbaik di atas padang.
“Saya bersyukur kerja keras itu mula membuahkan hasil dan dapat membantu Malaysia meraih kemenangan di negeri kelahiran saya iaitu Terengganu,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Safawi mengesahkan akan kekal bersama JDT untuk baki Liga Malaysia (Liga M) 2023 sekaligus menutup khabar angin mengaitkannya dengan Sri Pahang dan Terengganu FC.
“Keputusan itu sudah muktamad, saya akan terus menyarung jersi JDT dan fokus untuk saingan Liga M serta Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas ini,” katanya ringkas.-UTUSAN ONLINE