Dari pertahanan hingga serangan semua teruk - Bernhardt

Dari pertahanan hingga serangan semua teruk – Bernhardt

NASIB Frank Bernhardt (kanan) selaku pengendali Kelantan FC akan ditentukan selepas ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dari benteng pertahanan hingga jentera sera­ngan terlalu lemah hingga membuatkan pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt ‘hilang kata-kata’ ketika pasukannya dimalukan 4-1 oleh Kelantan United dalam aksi Liga Super kelmarin.

Kekalahan liga kelapan berturut-turut dan ke-11 musim ini menyebabkan The Red Warriors tersungkur ke tangga ter­corot dengan hanya mengutip empat mata daripada 13 perlawanan.
Tanpa berselindung, Bernhardt mengakui amat kecewa kerana pemain mengulangi kesilapan sama dalam setiap perlawanan.

“Saya tidak tahu apa nak dikatakan lagi. Setiap perlawanan dengan situasi sama. Bahagian pertahanan melakukan kesilapan besar dan bagi saya mereka terlalu lemah dan belum cukup bersedia untuk bersaing dalam Liga Super.

“Jentera serangan juga bermasalah. Pada perlawanan ini kita ada banyak peluang tetapi percubaan terkena tiang dua kali dan bila bola berada di atas garisan kita gagal menolaknya ke dalam gol, sebaliknya kita sering merembat kaki lawan ketika gol terbuka luas,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Jurulatih kelahiran Jerman itu memberitahu, dia dan barisan kejurulatihan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengubah situasi dan memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan.

Katanya, barisan jurulatih turut menyediakan rakaman video, bertemu dan berbincang secara perseorangan atau berkumpulan dengan pemain untuk membangkitkan sema­ngat motivasi.

“Kami telah melakukan segala-galanya tetapi apa yang se­ring saya dengar hanyalah ‘awak boleh’ dan ‘kami boleh’, namun pada akhirnya mereka terus mengulangi kesilapan yang merugikan pasukan,” katanya yang enggan mengulas ber­kenaan masa depannya bersama Kelantan FC.

AKSI Kelantan United (jersi merah) ketika menumpaskan Kelantan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin. – MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Mengulas lanjut, Bernhardt menegaskan beliau tidak boleh memberi sebarang komen berkenaan masa depannya bersama Kelantan FC dan menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan.

“Kesukaran situasi saya telah dirasai sejak lima hingga enam perlawanan lepas. Saya sudah memberikan yang terbaik setiap hari dan kini terpulanglah kepada pihak pengurusan.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang ini adalah pasukan ini berada sangat jauh daripada kualiti yang diperlukan untuk bermain di Liga Super,” ujarnya.

Pada perlawanan itu, gol-gol kemenangan Kelantan United FC disumbangkan oleh Devid Silva (minit ke-21), Porteria (minit ke-25, 61) dan Syazwan Zainol (minit ke-66) sementara Ismaheel Akinade menghadiahkan jaringan sagu hati buat Kelantan FC sebelum tamat babak pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya