KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menafikan desas-desus mereka bakal mendapat ketua jurulatih baharu menggantikan Tomislav Steinbruckner tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, laporan yang disifatkan tidak benar itu menjejaskan persiapan dan harmoni dalam kem Sang Penyu.
Tegas beliau, TFC tidak akan membuat keputusan terburu-buru menggantikan Steinbruckner dengan pengendali baharu meskipun mengalami masalah prestasi dalam Liga Super.
“Terdapat berita mengatakan kelab ini mahu mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu dan ingin saya sahkan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
“Proses memecat dan melantik jurulatih adalah rumit kerana melibatkan perbincangan serta persetujuan Jawatankuasa Teknikal dan Ahli Lembaga Pengarah TFC.
“Ketika ini barisan jurulatih diketuai Steinbruckner sedang mempersiapkan pasukan menghadapi Sabah sebaik liga kembali bersambung 19 Mei depan,” katanya semalam.
𝐊𝐄𝐍𝐘𝐀𝐓𝐀𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔 𝐅𝐎𝐎𝐓𝐁𝐀𝐋𝐋 𝐂𝐋𝐔𝐁
Terengganu FC ingin mengesahkan berita berkenaan wujud cadangan dari pihak kelab untuk menggantikan Ketua Jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner dengan pengendali baru adalah tidak benar.
Untuk… pic.twitter.com/8SaTHVSLwy
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) May 2, 2023
Menurut Ab. Rasid, Jawatankuasa Teknikal juga buat masa ini sedang meneliti senarai akhir pemain import dan tempatan untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua, Julai nanti.
Langkah itu katanya, bagi membantu meningkatkan prestasi TFC yang kini bergelut dengan masalah prestasi di kedudukan kelapan liga hanya mengutip 13 mata daripada 10 perlawanan.
Antara yang dikaitkan dengan kerusi panas di TFC itu adalah bekas jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak yang mengakui dilamar dua kelab Malaysia termasuk satu gergasi Pantai Timur.
Steinbruckner sebelum ini mengakui akan bertemu pengurusan tertinggi bagi membincangkan masa depan kelab itu selain turut menerima surat tunjuk pada Mac ekoran prestasi hambar Sang Penyu.
TFC yang akan berentap dalam saingan Piala AFC mengalami kekalahan kelima musim ini di tangan Sri Pahang, minggu lalu selepas dibelasah 1-5 oleh Selangor di tempat lawan pada 18 April lalu.