KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap isu ‘perebutan’ Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kumpulan muzik dari United Kingdom (UK), Coldplay dapat diselesaikan dengan baik.
Ketika ini igauan ketika konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang membayangi saingan Piala AFF 2022 berdepan Thailand pada awal tahun lalu dijangka bakal berulang pada November ini.
Ini kerana skuad negara akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi Kelayakan Piala Asia 2027 dan konsert Coldplay dijadual berlangsung pada 22 November.
“Memang isu stadium, kita akan kena seimbangkan antara sukan (bola sepak) dengan konsert. Yang ini (isu pertindihan venue), kita sudah bincangkan beberapa pilihan lain.
“Tetapi saya tidak mahu umumkan pilihan ini kerana kita perlu tunggu undian pada Julai nanti,” kata Hannah ketika ditemui selepas rangkuman prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara ini bersama Hannah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi bagi mengelakkan isu sama berulang.
“Perkara ini sudah dibincang dengan Menteri dan CEO PSM, saya sudah menyatakan perkara ini kali kedua terjadi dan ia tidak boleh terjadi lagi. Menteri setuju kerana kita sudah memaklumkan kontrak kita dengan PSM ini yang mana semua perlawanan dalam kalender FIFA.
“Kalau nak buat apa-apa kena maklum dengan kita. Kalau tak, buat apa tandatangan kontrak dengan PSM, baik pergi stadium lain. Tapi sudah dapat penyelesaian dengan menteri bahawa kita lihat dulu undian Piala Asia.
“Kita sudah buat beberapa persiapan untuk melihat kalau perlawanan pada 21 November itu berlaku, main dekat sini. Kita akan cuba untuk membuat rayuan semula. Jadi ada beberapa kemungkinan kerana perlawanan di luar kalender FIFA tetapi persiapan lima, enam hari sebelum itu. Jadi mungkin ada sebahagian tak boleh digunakan.
“Apapun, tunggu Julai (undian kelayakan Piala Asia) nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE