Pemain badminton negara berguru di China

Pemain badminton negara berguru di China

PENGARAH Eksekutif Fast Energy, Vincent Tan Wye Chuan (paling kiri), dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh (paling kanan), menandatangani perjanjian antara BAM dan Freeyond sambil disaksikan Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria (dua dari kanan), di Stadium Axiata Arena, di sini, semalam.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan akan mendapatkan bantuan jurulatih terkenal, Li Yongbo bagi memulihkan kembali penurunan prestasi yang mendadak membabitkan skuad perseorangan negara.

Perkara itu diberitahu oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria setelah menandatangani perjanjian persefahaman dengan penaja baru, Freeyond, semalam.

Menerusi kerjasama ini, BAM bukan sahaja mendapat tajaan bernilai RM 2 juta selama dua tahun, namun yang paling menguntungkan apabila badan induk itu dijanjikan peluang untuk menghantar barisan pemainnya berlatih di Akademi Badminton Li Yongbo di Dongguan, China.

“Kenapa kami menerima kerjasama dengan pihak Freeyond adalah disebabkan Datuk Eddie Chai mempunyai hubungan baik dengan Li Yongbo.

“Jadi Datuk Eddie Chai (Pengarah Freeyond) telah berbincang dengan Li Yong bo untuk cuba membawa beberapa orang pemain kita untuk dihantar ke akademi Li Yongbo di China. Ini merupakan salah satu perkara yang penting yang menjadi penentu apabila Freeyond berjumpa dengan pihak kami.

“Apa yang saya boleh katakan ini adalah sebahagian daripada kerjasama ini sementara dua pertiga daripada perjanjian ini adalah melibatkan wang tunai,” jelas Norza.

Yongbo adalah pengendali yang berpengaruh di arena badminton antarabangsa kerana pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan China selama 24 tahun, selain menjadi tulang belakang mendidik legenda dunia, Lin Dan.

Kehadiran Yongbo diharap menjadi jawapan yang telah sekian lama dicari BAM semenjak jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan pada 2019 susulan ditimpa penyakit kanser hidung.

“Apabila dia (Datuk Eddie) datang menawarkan kerjasama dengan pihak kami dan mampu untuk membantu kami membawa pemain berlatih di China, kita sedang mengenal pasti pemain mana yang bakal dihantar, saya boleh katakan ketika ini ia melibatkan pemain perseorangan lelaki dan wanita.

“Kita ada banyak tahap, yang pertama adalah melibatkan pemain yang akan mengharungi kelayakan Sukan Olimpik, kita akan cuba berhubung dengan pemain kita yang kita rasakan yang perlu untuk dihantar ke sana (china), tetapi yang lebih penting kita akan cuba untuk melihat barisan pemain remaja kita,” jelasnya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN