Naples berpesta Napoli tamatkan penantian tiga dekad

Naples berpesta Napoli tamatkan penantian tiga dekad

RIBUAN peminat membanjiri bandar Naples ketika meraikan kejayaan Napoli merangkul kejuaraan Serie A buat kali pertama sejak Dego Maradona melakukannya bersama pasukan pada 1990. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAPLES, Itali: Pengendali Napoli, Luciano Spalleti mena­ngis selepas pasukannya memahat sejarah merangkul kejua­raan Serie A pertama dalam tempoh 33 tahun.

Dia tidak dapat lari daripada terkenangkan abangnya yang meninggal dunia empat tahun lalu, selain memikirkan kesabaran penyokong Partenopei menantikan detik istimewa itu selepas kali terakhir bergelar juara pada 1990.

Seri 1-1 dengan Udinese semalam mengesahkan kejuaraan lebih awal ketika liga utama Itali masih berbaki lima perlawanan.

Sejurus tamat permainan, penyokong menyerbu padang Arena Dacia untuk meraikan kejayaan, dan ia juga membawa kepada sambutan ‘liar’ ribuan peminat di Udine, Stadio Maradona dan di sekitar bandar Naples.

PENYOKONG menyerbu ke dalam padang untuk meraikan kejayaan Napoli bersama Victor Osimhen (tengah) ketika menentang Udinese semalam. – AFP

Victor Osimhen meledak gol penyamaan pada separuh masa kedua, sekali gus mengulangi detik bersejarah yang diketuai ikon kelab, Diego Maradona yang memenangi liga pada 1987 dan 1990.

Spalletti dan pemainnya diberi sambutan penuh emosi apabila kembali ke Naples, di mana pesta diteruskan sekurang-kurangnya sehingga perlawanan di tempat sendiri menentang Fiorentina esok.

“Melihat orang Neapolitan gembira sudah cukup memberikan kegembiraan kepada saya.

“Mereka menikmati detik ini ketika hidup semakin sukar. Mereka berhak bergembira. Anda rasa lebih santai apabila mengetahui anda telah memberi kebahagiaan ini,” kata Spalletti sambil mengalirkan air mata.

BUNGA api mewarnai bandar Naples selepas Napoli mengesahkan kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh 33 minit.

Pada awal musim, tidak ramai menjangkakan Napoli mampu melakar kejayaan selepas beberapa bintang mening­galkan mereka, termasuk Dries Mertens, Kalidou Koulibaly dan Lorenzo Insigne.

“Untuk dibandingkan ­dengan Maradona, menjadi ­kapten yang menjulang Scudetto (Serie A), saya hilang kata-kata.

“Ini bukan gelaran saya, ia milik setiap pemain dan orang yang bekerja untuk merealisasikan impian kami,” kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo.

 

SEORANG peminat dipukul seseorang dengan menggunakan tali pinggang ketika meraikan kejayaan Napoli di Stadium Friuli, Udine. – AFP

Kejayaan Napoli bagaimanapun sedikit tercemar apabila penyokong tidak terkawal ketika meraikan kemenangan, di mana seorang lelaki dilihat memukul seseorang dengan tali pinggangnya hingga memaksa polis menenangkan keadaan.

Selepas mengharungi 33 perlawanan, Napoli mengutip 80 mata, 16 mata mengatasi pencabar terdekat, Lazio. Juventus dengan 63 mata di tangga ketiga, diikuti Inter Milan (60). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN