Zii Jia 100 peratus fokus, tiada gangguan

Zii Jia 100 peratus fokus, tiada gangguan

LEE Zii Jia mahu fokus pada Kejohanan Terbuka Malaysia bagi mencari tiket bertanding di Sukan Olimpik Paris. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Layak ke Sukan Olimpik Paris menjadi sasaran utama pemain badminton perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia dengan perancangan rapi telahpun disusun oleh jurulatihnya Wong Tat Meng.

Pemain No. 11 dunia itu berkata, dia kini bebas daripada kecederaan dan fokus pertamanya bagi tahun 2024 ialah pada kejohanan berstatus Super 1,000, Terbuka Malaysia yang menghadiahkan mata berharga untuk layak ke temasya Paris.

“Kali ini penyertaan saya pada Terbuka Malaysia tiada apa-apa gangguan, semuanya berada dalam keadaan baik dan saya juga tidak ada kecederaan, saya akan ikut segala perancangan yang jurulatih telah susun,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang di Axiata Arena dekat sini, semalam.

Zii Jia berjanji dia akan memberikan fokus 100 peratus bagi memastikan slot ke Sukan Olimpik menjadi miliknya.

Jelasnya, dia telahpun menyusun jadual untuk menyertai pertandingan di luar negara selepas Terbuka Malaysia.

“Saya tidaklah menyertai semua pertandingan tetapi tumpuan saya kepada Super 300 dan 500, manakala, kejohanan yang tidak akan saya sertai ialah kejohanan di Thailand,” ujarnya.

Zii Jia memberitahu, dia perlu selektif untuk menyertai mana-mana pertandingan kerana tidak guna juga jika beraksi dalam banyak kejohanan, tetapi, tidak ada pencapaian.

Ketika ditanya pula mengenai pencabarnya pada Terbuka Malaysia, pemain yang berasal dari Kedah itu berkata, dia tidak terlalu meneliti siapa yang bakal menjadi lawannya dalam undian perseorangan lelaki  kerana apa yang penting mendengar arahan jurulatih dengan baik.

Dalam sesi ujian gelanggang yang berlangsung pada sebelah pagi, semalam, jaguh Perancis, Christo Popov menjadi rakan sepelatih Zii Jia dan menurut anak muda berusia 25 tahun itu, peluang berlatih bersama pemain berkenaan bukanlah kali pertama berlaku.

Jelasnya, sebelum ini, dia pernah berlatih bersama pemain berusia 21 tahun itu ketika menyertai kejohanan di luar negara.

“Bagus juga dapat berlatih dengan Popov, sekurang-kurangnya dia beri kelainan dalam latihan saya dan dia juga salah seorang pemain handalan Eropah,” tambahnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya