JDT terus gah, belasah Kelantan 6-0

JDT terus gah, belasah Kelantan 6-0

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva meraikan jaringan hatricknya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri. - GAMBAR/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi kenduri gol di Stadium Sultan Ibrahim, di sini apabila menewaskan pasukan tercorot, Kelantan United FC (KUFC) 6-0 pada aksi Liga Super, sebentar tadi.

Kemenangan itu mengukuhkan Harimau Selatan di persada liga dengan mengumpul 30 mata daripada 10 perlawanan, lapan mata di hadapan pencabar terdekat, Sri Pahang FC dan Selangor FC.

Skuad kendalian Nazrulerwan Makmor bertahan dengan baik pada awal permainan dengan menutup ruang buat pasukan tuan rumah daripada membuka jaringan terlalu awal.

Namun, keadaan itu tidak bertahan lama apabila penyerang berbisa JDT, Bergson Da Silva melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter melepasi jangkauan penjaga gol Ahmad Asyraaf Omar pada minit kelapan.

Pada minit ke-17, giliran Oscar Arribas menguji kecekapan Ahmad Asyraaf tetapi kali ini penjaga gawang berusia 28 tahun itu lebih bersedia dan sempat menolak keluar rembatan tersebut.

Bergson hampir menggandakan jaringan buat pasukan tuan rumah apabila mendapat umpanan cantik Arif Aiman Hanapi berpunca daripada sepakan penjuru namun tandukannya terlalu kuat melepasi palang gol.

JDT akhirnya berjaya menambah jaringan menerusi Fernando Forestieri apabila memanfaatkan lorongan Leandro Velazquez dengan melepaskan rembatan lerek ke penjuru kanan gawang KUFC.

Skuad kendalian Esteban Solari berpeluang untuk menambah jaringan setelah mempunyai beberapa peluang keemasan, namun sikap tamak memburu gol menyebabkan peluang itu disia-siakan.

Sebelum tamat babak pertama, Leandro melakukan percubaan tepat ke arah gol dan penjaga gol sudah pun tertewas, malangnya rembatan itu sekadar menggegar palang gawang lawan.

Bersambung babak kedua, pasukan benteng Kijang Hijau tampak liat untuk dibolosi setelah ramai pemain lebih banyak berkampung seakan-akan mahu mengelak kekalahan dengan jaringan lebih besar.

Forestieri melakukan aksi ‘bloopers’ apabila gagal memanfaatkan umpanan cantik Arif Aiman dengan menolak bola hanya beberapa sentimeter melepasi garisan gol sebelum pemain pertahanan mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Kelantan United tidak hanya berdiam diri dan melancarkan serangan balas ke kubu JDT, namun tiada sentuhan penyudah menyebabkan mereka gagal menembusi benteng terakhir pasukan tuan rumah itu.

Setelah bertali arus melakukan serangan, benteng KUFC bolos jua pada minit ke-62 apabila Bergson yang menerima hantaran Forestieri dan berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol melakukan sepakan lambung ke arah gawang yang kosong itu.

Pada minit ke-69, JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah penjaga gol melakukan terjahan terhadap Forestieri dan penyerang sensasi kelahiran Brazil itu melengkapkan jaringan hatriknya selepas menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

PENYERANG JDT, Arif Aiman diekori rapat oleh pemain Kelantan United Ahmad Tasnim Fitri Mohd. Nasir dan Jose Elmer Porteria pada perlawanan Liga Super menentang Kelantan United di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. – GAMBAR/RAJA JAAFAR ALI

Skuad Kijang Hijau yang belum merekodkan sebarang kemenangan pada musim ini terus dirundung malang apabila pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat JDT setelah Bergson dijatuhkan Fauzan Fauzi pada minit ke-72.

Leandro tidak berdepan tugas sukar untuk menambah jaringan buat Harimau Selatan dengan menyempurnakan sepakan itu, sekali gus melengkapkan satu lagi kemenangan dengan jaringan yang besar.

Tidak terhenti di situ, JDT tidak menunjukkan isyarat memperlahankan permainan sebaliknya berusaha memburu jaringan.

Sebelum wisel penamat, Forestieri sempat menjaringkan gol bagi menambah derita pasukan pelawat yang terus menghuni tangga tercorot liga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.