KOTA BHARU: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman meminta individu yang berminat untuk menjadi pemilik kelab itu supaya tampil segera membuat tawaran.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, beliau mahu bertemu mereka yang betul-betul berminat dan tidak mahu sekadar bercakap untuk menjadi pemilik The Red Warriors (TRW).
“Silakan hadir dan email ke [email protected] dengan ‘proof of funds’. Tak mahu sembang sahaja.
Dalam catitan saya…saya masih kekal terbuka untuk mana-mana individu yang mampu galas tugas sebagai pemilik untuk beli TRW ini dari saya.
“Saya masih terbuka…cepat munculkan diri. Saya nak bayar gaji lagi ni. Kalau saya untung, marilah jadi pemilik dan cari untung dengan perniagaan di bola,” katanya selepas menjawab tulisan peminat Kelantan FC meminta beliau melepaskan pasukan itu kepada pemilik yang betul-betul berminat.
Zamsaham memberitahu, sehingga hari ini tiada seorang pun yang hadir untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
Katanya, beliau ikhlas membina Kelantan FC sebagaimana tindakannya menyelamatkan pasukan itu tiga tahun lalu.
Ujarnya, ketika itu tiada siapa pun yang mahu menyelamatkan Kelantan FC.
“Hanya dalam tujuh hari hari saya selesai rundingan dan bayar deposit beli Kelantan pada 3 September 2020.
“Hari ni saya nak tengok…ada tak yg berkenan. Dari Liga Perdana saya dah bawak naik ke Liga Super secara merit. Anda minta.
Marilah,jangan cakap sahaja. Saya terbuka dengan tawaran,” katanya.