IPOH: Perak FC menjadi pasukan terbaru dalam kancah liga Malaysia mengumumkan perpisahan dengan jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pasukan itu sebentar tadi.
Teong Kim yang pernah berpengalaman mengendalikan skuad remaja Bayern Munich pada 2001 hingga 2013 diumumkan berpisah dengan Perak berkuat-kuasa serta merta.
Keputusan ini mungkin berpunca kepada kedudukan kurang memberangsangkan skuad Seladang dalam saingan Liga Super musim ini apabila hanya mampu melakar dua kemenangan sahaja daripada 12 perlawanan yang diharungi setakat ini sekaligus menduduki tangga kesebelas liga.
Terbaru, Perak dibawah pengendali berusia 56 tahun itu tewas kepada Sabah 1-3 di Stadium Likas pada Selasa.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” jelas Perak FC dalam satu kenyataan ringkas.
Susulan itu, Perak FC turut mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara.