TURIN: Wojciech Szczesny mengakui, dia ketakutan sehingga menangis ketika meninggalkan padang selepas diserang sakit dada ketika pasukannya menentang Sporting CP pada suku akhir pertama Liga Europa semalam.
Penjaga gol Poland itu dikeluarkan sebelum tamat babak pertama, dan Mattia Perin dibawa masuk untuk membantu Juventus melakar kemenangan 1-0 di Stadium Allianz.
Szczesny segera diberi rawatan selepas dibawa keluar, dan pemain berusia 32 tahun itu mengakui amat takut kerana mengingatkan insiden serangan jantung yang pernah menimpa beberapa pemain bola sepak sebelum ini.
“Saya baik-baik saja, saya sedikit cemas tetapi kami telah melakukan semua ujian dan semuanya baik-baik.
“Saya sangat takut, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya tiba-tiba sukar bernafas dan ia sangat membimbangkan,” kata Szczesny.
Ketangkasan Perin yang menyelamatkan percubaan berganda Pote dan Hector Bellerin pada masa tambahan memastikan kemenangan Juventus.
“Sebenarnya, saya lihat Perin dalam keadaan yang baik ketika latihan. Saya tahu dia akan bermain hebat.
“Saya mengucapkan tahniah kepadanya, dia juga lelaki yang berhati emas, hubungan kami sangat baik,” kata Szczesny.
Sementara itu, Perin memuji persembahan rakan-rakan sepasukannya, namun mengakui banyak lagi kerja perlu dilakukan menjelang aksi kedua di tempat lawan, Khamis depan.
“Secara keseluruhan, pasukan telah menunjukkan persembahan luar biasa dan kami bernasib baik tidak kalah.
“Kami berjaya menukar tenaga negatif menjadi positif, dan membuktikan kami adalah lelaki sejati.
“Apa pun, kami baru mengharungi 90 minit. Ada 90 minit lagi perlu diharungi, jadi apa sahaja boleh berlaku,” kata Perin. – AGENSI