LONDON: Jurgen Klopp runsing memikirkan strategi yang mahu digunakan untuk berdepan Chelsea esok selepas Liverpool mengalami tiga kekalahan berturut-turut sejak mencatat kemenangan bersejarah 7-0 ke atas Manchester United, 6 Mac lalu.
Kalah 4-1 kepada Manchester City, Sabtu lalu menyerlahkan kelemahan bahagian tengah dan pertahanan, sekali gus menyukarkan misi Reds untuk memburu kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris.
Musim ini juga menyaksikan Liverpool mencatat gol paling sedikit sejak 2011, dan satu lagi kekalahan kepada Blues di Stamford Bridge mampu memburukkan kedudukan Reds yang kini menghuni tangga kelapan.
Satu-satunya perkara yang sedikit melegakan Klopp, moral pemain Chelsea juga di tahap paling rendah ekoran kekalahan 0-2 kepada Aston Villa di laman sendiri, Sabtu lalu untuk jatuh ke tangga ke-11.
“Pertemuan dengan City amat besar. Bila anda kalah dengan cara begini, ia sesuatu yang sukar untuk diperkatakan.
“Proses untuk bangkit pula terlalu singkat kerana kami perlu bertemu Chelsea pada Selasa ini (3 pagi Rabu waktu Malaysia). Kami akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Klopp. – AGENSI