LONDON: Sebuah kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) dilaporkan telah membantu pemainnya, yang merupakan bintang England untuk menutup mulut kekasih gelapnya menerusi satu perjanjian yang tidak didedahkan.
Kelab tersebut terpaksa campur tangan melakukan rundingan bagi mengelak skandal pemain itu terbongkar.
Kekasih gelapnya diarah memadam semua gambar dan mesej yang dihantar pemain berkenaan, dan sebagai pampasan, wanita itu dibayar 20,000 pound (RM109,380).
“Sebuah kelab besar tidak sepatutnya menghalang hak seorang wanita yang tidak berdaya daripada bersuara.
“Situasi ini membuatkan banyak pihak tidak senang,” dedah seorang wanita yang juga kenalan kepada skandal pemain bola itu.
Akhbar Britain, The Sun mendedahkan seorang pemain bola sepak kebangsaan England yang sudah berkahwin mempunyai hubungan sulit dengan seorang ibu tunggal.
Pemain Three Lions itu bimbang apabila isterinya mengesyaki perbuatan itu, dan cuba mendapatkan khidmat guaman bagi menutup mulut kekasih gelapnya.
Bagaimanapun tindakannya menggunakan perjanjian kerahsian (NDA) membawa padah apabila dikritik oleh ahli kempen anti keganasan ketika Majlis Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid). – AGENSI