Jeong tetap heret Kelantan FC ke FIFA

Jeong tetap heret Kelantan FC ke FIFA

JURULATIH Kelantan FC, Choi Moon Sik (kiri) direhatkan ekoran prestasi 'teruk' pasukan dalam beberapa perlawanan di Liga Super.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis dalaman Kelantan FC terus bergolak dengan ejen terkenal Korea Selatan, Myeongho Jeong telah bersiap sedia membawa kelab itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Jeong mengakui dirinya sangat marah dengan kenyataan balas skuad The Red Warriors (TRW) yang mendakwa dirinya sengaja memfitnah dan memburukkan Kelantan FC.

Ejen kepada bekas jurulatih Kelantan yang ‘direhatkan’ iaitu Choi Moon-sik itu, turut mendedahkan bakal menyaman kelab tersebut dan telah melantik barisan peguam tempatan bagi mengendalikan kes berkenaan.

“Kami sedang berusaha keras menyediakan laporan untuk tuntutan ke bahagian undang-undang FIFA. Saya sangat marah dan tidak boleh menerima pembohongan anda (Kelantan FC), dan tidak akan sesekali membuat permohonan maaf,” katanya membalas kenyataan TRW, kelmarin.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sebelum ini menafikan kesemua dakwaan yang dibuat oleh ejen terkenal Asia itu.

Menurut Norizam dakwaan yang dibuat oleh ejen tersebut hanyalah berniat menjatuhkan nama baik serta reputasi Kelantan dan nama bola sepak Malaysia di mata dunia.

Norizam memberitahu, pihaknya kini sedang berbincang dengan pasukan perundangannya berkaitan tindakan lanjut yang akan diambil kepada ejen Korea Selatan itu.

Terdahulu, isu itu bermula selepas Kelantan merehatkan Moon Sik pada Selasa lalu dan Jeong bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak di dengar secara umum di laman Instagramnya.

Ia termasuk mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain selain pemain tidak dibayar gaji selama dua bulan.

Pendedahan itu, turut mendapat liputan meluas media Korea Selatan dan ia dilihat memburukkan imej liga bola sepak Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN