PETALING JAYA: Pemenang pingat Olimpik antara yang bakal diserap dalam program khas memburu emas pertama Malaysia di Paris 2024, ‘Road to Gold’ (RTG), selain beberapa atlet dengan prospek tinggi.
Begitupun, atas saranan beberapa legenda sukan negara, nama-nama atlet yang bakal dimasukkan dalam RTG terpaksa dirahsiakan bagi mengelak mereka daripada diberikan tekanan melampau, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Kata Hannah, mesyuarat pertama Jawatankuasa Road to Gold yang turut dianggotai nama-nama besar dalam sukan tanah air seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Minarwan Nawawi minggu ini akan mengenal pasti atlet yang layak mendapat bantuan khas RTG.
Ketika ini, pemenang pingat perak dan gangsa Olimpik, Datuk Azizulhasni Awang (berbasikal) serta jaguh perseorangan badminton, Lee Zii Jia antara yang hampir pasti berada dalam program RTG.
Secara keseluruhan, program itu dijangka menerima sembilan atlet terbaik negara yang paling berpotensi untuk meraih pingat pada temasya Paris yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, 2024.

“Saya dan Stuart (Ramalingam, penyelaras RTG) sudah berjumpa beberapa orang, tetapi saya tahu ada banyak permintaan untuk senaraikan nama atlet-atlet ini. Tetapi perspektif daripada tiga atlet yang kita bawa masuk dalam program ini, nama atlet itu tidak sepatutnya diumumkan.
“Apabila kita berjumpa Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol (David), dan Datuk Mirnawan (Nawawi), mereka sarankan jangan umumkan dahulu nama atlet ini.
“Tekaan itu okey, kerana peminat sukan akan tahu standard atlet, cuma program RTG ini tidak tertumpu kepada Paris 2024, tetapi Los Angeles 2028, kita kena tengok bidang sukan mana satu dalam tempoh lima tahun lagi boleh membantu.
“Pada hari ini, atlet itu mungkin tidak disenaraikan, mungkin belum ada ranking dunia, tetapi mungkin tiba-tiba dia akan keluar (menyinar).
“Program RTG ini saya tidak mahukan hadkan kepada tiga orang atlet sahaja, itu sebab program ini akan mempunyai penilaian berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan ini adalah berdasarkan merit dan potensi yang mereka ada,” kata Hannah.

Hannah berkata demikian ketika ditemui dalam lawatannya ke pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini semalam.
Sepanjang penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik sejak 1956, pingat emas masih belum berjaya dibutirkan.
Pencapaian terbaik kontinjen negara sebaliknya adalah mengumpul lapan perak dan lima gangsa.
Temasya Rio 2016 merupakan penampilan terhebat Malaysia, di mana empat perak dan satu gangsa dibawa pulang.
Selain badminton dan berbasikal, sukan terjun yang bakal menampilkan pemenang pingat perak serta gangsa Sukan Olimpik, Datuk Pandelela Rinong antara yang dijangka mengisi program RTG.