LONDON: Penjaga gol Sporting Lisbon, Antonio Adan menyelamatkan sepakan penalti pemain Arsenal, Gabriel Martinelli untuk membawa pasukannya mara ke suku akhir Liga Europa, awal pagi tadi.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal diheret ke penentuan sepakan penalti selepas aksi kedua, pusingan 16 akhir itu berkesudahan 1-1.
Kedua-dua pasukan terikat secara agregat 3-3, namun Sporting yang menduduki tangga keempat liga Portugal menamatkan permainan selaku pemenang selepas Adan menafikan sepakan lemah Martinelli.
Sporting menyingkirkan Arsenal dengan kemenangan 5-3, sekali gus mengecewakan ribuan penyokong Gunners di Emirates.
Terdahulu, tuan rumah bermula baik apabila rembatan Granit Xhaka pada minit ke-19 menggegar gawang Sporting dan menggamatkan stadium.
📸 𝙈𝙤𝙢𝙚𝙣𝙩𝙨 𝙩𝙝𝙖𝙩 𝙡𝙖𝙨𝙩 𝙛𝙤𝙧𝙚𝙫𝙚𝙧 📸#SportingCP #UEL pic.twitter.com/znFqePgV1F
— Sporting CP English (@SportingCP_en) March 17, 2023
Begitupun jaringan cantik Pedro Goncalves pada minit ke-78 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan sebelum penentuan sepakan menjadi jalan terakhir untuk menentukan pemenang.
“Ia kekalahan yang besar. Dalam tempoh 75 minit pertama kami tidak berada pada tahap sebenar.
“Kami sering membuang bola dan tidak berupaya menamatkan permainan,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, gol tunggal Marcus Rashford membantu Manchester United menumpaskan Real Betis 1-0 di Sepanyol.
Kemenangan itu membolehkan United mara ke suku akhir secara agregat 5-1. – AGENSI