Saya boleh bermain di mana-mana posisi - Dos Santos

Saya boleh bermain di mana-mana posisi – Dos Santos

Endrick Dos Santos (FOTO: Ihsan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM))
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemain naturalisasi, Endrick Dos Santos fleksibel untuk diletakkan di mana-mana posisi asalkan mampu membantu pasukan kebangsaan meraih kemenangan.

Pemain tengah menyerang itu yakin mampu menyesuaikan diri dengan peranan yang diberikan ketua jurulatih, Kim Pan Gon dan percaya menjadi lebih baik pada setiap perlawanan.

Dos Santos yang sudah meledak tiga gol bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada kancah Liga Super tidak terkilan gagal mencetak jaringan pada aksinya menentang Turkmenistan, Khamis lalu.

“Saya gembira apabila mendapat panggilan beraksi buat pertama kali bersama pasukan Harimau Malaya, saya yakin pasukan ini berpotensi menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya.

“Walaupun ketua jurulatih meletakkan saya di posisi yang lebih rendah di bahagian tengah, saya selesa juga bermain bertahan kerana pernah beraksi di posisi itu sebelum ini. Masih ada ruang untuk diperbaiki dan akan memberikan yang terbaik pada perlawanan seterusnya.

“Walaupun tidak dapat menjaringkan gol atau membuat bantuan gol, saya tidak kecewa kerana turut berperanan membantu pasukan. Yang penting ialah pasukan Harimau Malaya mencapai objektifnya menewaskan lawan,” katanya.

Pemain kelahiran Brazil itu memberitahu, barisan pemain yang dipanggil menyertai kem kebangsaan memerlukan masa untuk membentuk keserasian dan ‘menghadam’ taktikal dan perancangan yang diterapkan Pan Gon.

“Kita mempunyai masa yang singkat untuk membuat persiapan ketika berdepan Turkmenistan, namun saya percaya hasilnya lebih baik apabila kita berdepan Hong Kong nanti. Segalanya berjalan lancar dengan barisan kejurulatihan dan pemain, saya yakin kita mampu menewaskan lawan pada Selesa ini,” katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu mahu menterjemahkan prestasi terbaiknya bersama JDT musim ini bagi membantu pasukan kebangsaan terus melakar kejayaan.

“Saya seorang pemain yang bekerja keras dan akan memberi lebih berbanding pemain lain. Saya akan cuba mengekalkan rentak terbaik musim ini dan diterjemahkan ketika bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.