Sang Kenari elak dikejutkan The Cops

Sang Kenari elak dikejutkan The Cops

KEDAH FC mencari kemenangan ketiga apabila menentang PDRM malam esok selepas menewaskan Terengganu FC, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun tampil sebagai pasukan pilihan apabila menentang PDRM FC malam esok, namun Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengingatkan anak-anak buahnya agar mengelak elemen kejutan yang mungkin dihadirkan lawan.

Menurut Nafuzi, pemain Sang Kenari seharusnya mengekalkan momentum dan tidak mengambil mudah cabaran The Cops bagi memastikan mereka tidak tercicir mata di depan penyokong sendiri.

Menerusi penilaian dibuat, PDRM FC menunjukkan peningkatan apabila seri 0-0 dengan Perak FC, Rabu lalu walaupun mereka sebelum itu tewas dengan jaringan besar 0-4 kepada Sabah FC.

“Mereka ada beberapa pemain yang bagus seperti Bruno Suzuki yang pernah bersama saya di Terengganu. Mungkin keputusan dua perlawanan awal tidak menyebelahi PDRM tetapi mereka pasukan yang bagus, bukan mudah untuk kami melalui perlawanan malam esok.

“Memang saya risaukan elemen kejutan tetapi saya gembira melihat keadaan pemain KDA FC. Ketika ini mood masing-masing amat baik dan kita perlu tiga mata lagi untuk menggembirakan penyokong,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman, hari ini.

KEDAH FC mencari kemenangan ketiga apabila menentang PDRM malam esok selepas menewaskan Terengganu FC, Rabu lalu.

Mengulas keadaan fizikal pemain ketika ini, Nafuzi memaklumkan beberapa pemain mengalami kecederaan antaranya ketua pasukan, Manuel Ott di bahagian kaki dan Manuel Hidalgo di bahagian rusuk.

“Kami akan menilai semula keadaan mereka sebelum diturunkan malam esok. Selain itu disebabkan jadual yang agak padat, ada kemungkinan kami akan membuat penggiliran pemain,” katanya.

Dalam pada itu, pertahanan kiri KDA, Muhammad Ariff Farhan Md. Isa berkata, dia bersama rakan sepasukan di bahagian benteng sudah bersedia untuk menyerap tekanan oleh barisan serangan PDRM FC yang dijangka berusaha habis-habisan setelah ketandusan gol dalam dua perlawanan awal.

“Selepas mencatat satu kekalahan dan satu seri, sudah pasti PDRM FC dahagakan kemenangan. Justeru kami di bahagian pertahanan memiliki tugas penting untuk memastikan pintu gol tidak dibolosi.

“Setakat ini apa yang boleh saya katakan kami tidak berada di bawah tekanan malah bersemangat berdasarkan dua keputusan awal. Kami juga harap penyokong hadir beramai-ramai memberikan semangat tanpa mengira siapa pun pasukan lawan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.