MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag memuji karakter yang ditampilkan pemainnya ketika membenam Real Betis 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Europa di Old Trafford semalam.
Ten Hag langsung tidak membuat perubahan dalam kesebelasan utama pasukan biarpun diaibkan 7-0 oleh Liverpool pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Pemain membalas kepercayaan itu dengan prestasi cemerlang, dan selangkah menghampiri suku akhir Liga Europa hasil jaringan Marcus Rashford, Antony, Bruno Fernandes dan Wout Weghorst.
“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik dalam kedua-dua separuh masa. Kami menjaringkan beberapa gol yang bagus, memberi penyokong sesuatu untuk diraikan.
“Ia karakter yang hebat, kami bagus dalam menguasai bola, melakukan pertukaran yang baik, berlari di belakang dan mencipta banyak peluang,” kata Ten Hag.
Sementara itu, Rashford mengakui, kemenangan ke atas Betis, yang bakal ditentang sekali lagi pada 16 Mac depan penting untuk memulihkan keyakinan pasukan selepas apa yang berlaku di Anfield.
Rashford meledak jaringan ke-26 musim ini, dan percaya kemenangan semalam telah membawa United kembali ke landasan sebenar.
“Ia sangat penting untuk memenangi perlawanan seterusnya (selepas kekalahan kepada Liverpool).
“Ini satu-satunya cara untuk kami bangkit dan meneruskan momentum.
“Saya gembira kami mencatat kemenangan selesa kerana itu meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk pertandingan ini,” katanya. – AGENSI