SEREMBAN: Pemain Negeri Sembilan FC kini berada di tahap motivasi terbaik bagi melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, malam ini.
Ketua Jurulatih, K. Devan berkata, bertemu dengan pasukan terbaik negara itu sudah tentu bukan tugas mudah justeru beliau menuntut semua pemain skuad Jang yang akan diturunkan pada perlawanan itu nanti untuk menampilkan aksi terbaik masing-masing.
“Kami akan bertemu pasukan yang terbaik di negara kita dan motivasi pemain memang akan berada di tahap terbaik. Mereka akan cuba untuk memberikan saingan yang saya rasa boleh membanggakan.
“Saya perlu ingatkan bahawa mereka perlu beraksi pada tahap keupayaan dan kebolehan mereka yang sebenar apabila bertemu dengan pasukan JDT,” katanya.
Devan menjelaskan, para pemain perlu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mencari keputusan positif sekali gus membanggakan semua penyokong yang akan hadir.
“Saya mohon penyokong Negeri Sembilan untuk datang ke stadium dan berikan sokongan, kehadiran mereka akan berikan semangat yang lain kepada pemain untuk berjuang dan tunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Sementara itu, katanya, kesemua anak buahnya kini berada dalam keadaan terbaik cuma beberapa pemain yang baru kembali dari kecederaan yang masih memerlukan pemerhatian termasuk penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang cedera ketika perlawanan menentang Penang FC baru-baru ini.
“Buat masa ini kami ada pemain dalam pengawasan seperti Sikh Izhan Nazrel dan beberapa pemain yang datang daripada kecederaan, jadi kami akan buat keputusan kesebelasan utama yang akan diturunkan sebelum perlawanan itu nanti,” katanya.-UTUSAN