Nafuzi tuntut Sang Kenari konsisten

Nafuzi tuntut Sang Kenari konsisten

KEDAH menumpaskan Kelantan United 3-2 dalam perlawanan terakhir Liga Super, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah bangkit daripada dua episod kekalahan sebelum menang terhadap Kelantan United FC Isnin lalu, pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menuntut anak-anak buahnya konsisten membentuk momentum kemenangan ketika menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman, esok.

Untuk mencapai matlamat itu kata Nafuzi Zain, pemain perlu memberi fokus 100 peratus dan tidak lagi melakukan kesilapan mudah yang dilihat menjadi punca kepada kebanyakan jaringan lawan ketika bertemu mereka sebelum ini.

Menurut Nafuzi, beliau mahu melihat pemain ‘bertenang’ dalam setiap perlawanan dilalui dan mengelak daripada melakukan tindakan-tindakan tidak perlu yang mampu membawa bencana kepada pasukan.

“Dalam keadaan sekarang, saya mahu pemain sedar bahawa mereka perlu guna setiap peluang yang ada untuk pastikan perlawanan menjadi milik kami tanpa melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Saya juga mahu mereka ‘settle down’ secepat mungkin dalam perlawanan kerana perkara sebegitu akan menyebabkan kita berada bawah tekanan.

“Apabila tertekan, mulalah kita berada dalam keadaan kelam-kabut dan apa yang dirancang tidak menjadi. Kita perlu berusaha untuk mencapai kemenangan tetapi jangan terlalu memaksa atau dalam erti kata lain terlampau gelojoh untuk membuat asakan. Paling penting, usah ulangi kesilapan mudah yang menyebabkan pintu gol kita dibolosi.

NAFUZI ZAIN

“Saya faham ada pemain yang jarang beraksi sebelum ini masih ‘terkejut’ dan sedang membiasakan diri dengan suasana termasuk di stadium tetapi mereka harus segera tenang dan menyesuaikan diri ketika penyokong sentiasa menjadi tulang belakang untuk menaikkan semangat pasukan,” katanya dalam sidang akhbar.

Tambah Nafuzi, pertemuan menentang pasukan dari bumi kenyalang itu dijangka tidak mudah apatah lagi Kuching City dibimbing oleh individu yang dianggapnya sebagai ‘sifu’ dalam dunia kejurulatihan.

“Walaupun kedudukan mereka di bawah kami dalam carta liga, namun itu tidak bermakna mereka lawan yang mudah. Kita tahu setiap pasukan yang berkunjung ke Darul Aman sentiasa memberikan usaha tambahan dan komitmen penuh bagi memberi kesukaran kepada KDA.

“Mereka tahu kita sentiasa memiliki kelebihan di laman sendiri dalam pelbagai aspek termasuk penyokong. Jadi mereka akan berusaha bertahan daripada dibolosi serta menunggu untuk melakukan serangan balas pantas.

“Maka dalam apa jua situasi, pemain perlu bersedia. Ketika menyerang sekali pun, mereka perlu bersedia bertahan untuk berdepan serangan balas pantas yang mungkin berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi percaya permulaan musim yang tidak begitu ‘cantik’ kali ini sedikit sebanyak mendidik anak-anak buahnya menjadi pasukan lebih baik.

“Bagus juga perkara sebegini berlaku di awal musim kerana pemain dapat disedarkan bahawa mereka boleh tewas dengan sesiapa pun walau pasukan ini dibarisi pemain yang ada ‘nama’ serta berpengalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya