PARIS: Lionel Messi mengundi rakan sepasukannya, Neymar dan bukan Kylian Mbappe untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.
Sebagai kapten Argentina, Messi boleh mengundi tiga pemain, di mana dia memilih dirinya, Neymar dan penyerang Real Madrid, Karim Benzema.
Keputusan akhir menyaksikan Messi dinobat sebagai pemain terbaik dalam majlis di Paris selepas meraih 52 mata berdasarkan undian, mengatasi Mbappe (44) dan Benzema (34).
Kejayaan memimpin Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 menjadi kekuatan Messi untuk dipilih oleh penyokong, kapten dan jurulatih skuad kebangsaan serta 300 wartawan dari seluruh dunia.
Kapten England, Harry Kane turut memilih Messi, Sadio Mane serta Benzema sebagai tiga pilihan terbaiknya.
Sama seperti Messi, Kane tidak memilih Mbappe biarpun pemain itu tonggak Perancis yang muncul naib juara Piala Dunia.
Messi turut menjadi pilihan pengurus England, Gareth Southgate bersama Luka Modric dan Mbappe.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo memilih untuk tidak mengundi kali ini, sekali gus tugas digalas oleh Pepe.
Pepe memilih Mbappe, Modric serta Benzema sebagai pilihannya, dan bukan Messi mahupun Ronaldo.
Ini kali kedua Messi memenangi anugerah Pemain Terbaik FIFA, menyamai rekod Ronaldo.
Bintang Mesir, Mohamed Salah membuat pilihan unik apabila mengundi Vinicius Junior, Kevin de Bruyne serta Achraf Hakimi.
“Tahun ini cukup gila! Saya mencapai impian yang telah diperjuangkan selama ini.
“Akhirnya saya merangkul Piala Dunia dan ia perkara paling indah dalam karier saya.
“Semua pemain bola mengimpikan kejayaan ini tetapi hanya segelintir yang berjaya merealisasikannya,” kata Messi selepas menerima anugerah.
Sementara itu, bintang Sepanyol, Alexia Putellas menewaskan Beth Mead dari England untuk dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik kali kedua berturut-turut.
“Jika anda ada impian, perjuangkan ia, namun nikmatilah perjalanan anda,” kata Putellas yang juga bintang Barcelona. – AGENSI
SENARAI PEMENANG ANUGERAH FIFA 2022
Pemain Lelaki Terbaik: Lionel Messi
Pemain Wanita Terbaik: Alexia Putellas
Jurulatih Lelaki Terbaik: Lionel Scaloni
Jurulatih Wanita Terbaik: Sarina Wiegman
Penjaga Gol Lelaki Terbaik: Emiliano Martinez
Penjaga Gol Wanita Terbaik: Mary Earps
Anugerah Puskas: Marcin Oleksy
Permainan Bersih: Luka Lochoshvili
Anugerah Penyokong: Peminat Argentina
FIFA FIFPRO Lelaki (kesebelasan terbaik): Thibaut Courtois, Joao Cancelo, Virgil van Dijk, Achraf Hakimi, Casemiro, Kevin De Bruyne, Luka Modric, Karim Benzema, Erling Haaland, Kylian Mbappe, Lionel Messi
FIFA FIFPRO Wanita (kesebelasan terbaik): Christiane Endler, Lucy Bronze, Mapi Leon, Wendie Renard, Leah Williamson, Lena Oberdorf, Alexia Putellas, Keira Walsh, Sam Kerr, Beth Mead, Alex Morgan