PETALING JAYA: Malaysia perlu bermain dengan tenang biarpun dalam keadaan terdesak apabila menentang Myanmar pada perlawanan ‘wajib menang’ Kumpulan G, Kelayakan Bola Sepak Piala Asia Wanita Bawah 20 tahun (B-20) di Phnom Penh, Kemboja hari ini.
Kekalahan 0-1 kepada Kemboja dalam aksi pembukaan kelmarin menyebabkan anak-anak buah Cameron Ng tiada pilihan kecuali menumpaskan Myanmar sekurang-kurangnya 2-0 jika mahu melayakkan diri ke pusingan kedua kelayakan.
Kata Cameron, tugas yang dihadapi anak-anak buahnya cukupo getir kerana mereka bukan sahaja wajib menang, malah melakar kemenangan dengan dua gol untuk menghidupkan harapan.
“Kami tahu pasukan perlukan kemenangan tetapi kami tidak boleh bermain secara terburu-buru untuk mendapatkan gol, sebaliknya gol akan menjelma kalau semua pemain bermain mengikut cara permainan kita sendiri.
“Kita tak mahu main terburu-buru lepas itu melepaskan jaringan,” katanya.
Cameron mengakui, dibolosi oleh Kemboja pada waktu kecederaan amat menyakitkan dan pemainnya jelas sanat keletihan ketika permainan melepasi minit ke-90.

“Kami membariskan skuad baharu dan pemain muda, jadi sebahagian besar mereka boleh dikatakan tidak pernah bermain dalam tempoh perlawanan sebenar kerana dalam liga tempatan juga mereka bermain dalam tempoh 70 minit sahaja.
“Sebab itu, kita dapat lihat kita bolos di saat-saat akhir akibat keletihan. Ini bukan alasan, tapi tempoh dua minggu latihan belum cukup untuk saya tingkatkan stamina pemain,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan, Amirah Rahman berkata faktor cuaca panas terik menjadi antara punca kekalahan mereka.
Katanya, sepanjang tempoh dua minggu latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan, mereka sentiasa beraksi dalam keadaan cuaca sejuk.
“Bukan nak bagi alasan tapi cuaca panas terik jadi punca kami kalah sebab sebelum ini perlawanan persahabatan yang kami hadapi kami selalu bermain ketika cuaca hujan.
“Bagaimanapun itu bukan alasan. Kami sudah bangkit dari kekecewaan dan kini akan fokus 100 peratus untuk perlawanan menentang Myanmar,” katanya.
AKSI pemain Malaysia ketika menentang Kemboja dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Phnom Penh, Kemboja kelmarin. – IHSAN FAM