KOTA BHARU: Kelantan FC tekad bangkit daripada kekecewaan minggu lalu untuk mencuri mata apabila berdepan Sri Pahang dalam aksi kedua Liga Super Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Kapten The Red Warriors (TRW), Mario Arques berkata, walaupun berdepan laluan sukar, namun kemenangan boleh diraih jika jika rakan-rakan sepasukan memberi aksi terbaik.
“Jangkaan saya kita mampu mendapat mata pertama buat TRW dalam saingan liga musim ini walaupun kami sedar bukan tugas mudah untuk menundukkan Sri Pahang di halaman mereka.
“Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik untuk peminat-peminat TRW dan kesemua yang menyokong kami,” katanya.
Sabtu lalu, Kelantan bermula langkah sumbang apabila kalah 1-2 kepada Kuching City biarpun mendahului 1-0 di depan penyokong sendiri.
Kata Mario, segala kelemahan dalam perlawanan itu telah diperbaiki bagi memastikan Kelantan FC tidak lagi keciciran mata.
“Satu daripadanya adalah kesefahaman yang sedang dibina dalam pasukan dan juga keserasian dengan penyokong yang hadir memberi sokongan kepada kami di stadium.
“Kami harus terus membina aspek-aspek positif dalam setiap perlawanan dan daripada situ kami akan cuba untuk mendapatkan tiga mata,” ujarnya.