KDA jinakkan Kuching City 3-0

KDA jinakkan Kuching City 3-0

MOHD. Akmal Md. Zahir meraikan jaringan gol yang membolosi gawang Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan apabila menundukkan Kuching City FC dalam kemenangan mudah 3-0 yang dicatat di hadapan lebih 7,800 penyokong setia Hijau Kuning, malam ini.

Anak-anak buah Nafuzi Zain seperti dijangka menguasai perlawanan sejak minit pertama namun perlawanan itu kelihatan hambar untuk tempoh 10 minit pertama apabila mereka gagal menghasilkan percubaan merbahaya.

Peluang pertama tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-11 apabila sayap import dari Argentina, Manuel Hidalgo berjaya menghantar bola tepat kepada pemain bertubuh sasa dari Serbia, Bojan Ciger yang menanti dalam kotak penalti lawan melalui sepakan percuma.

Tandukan dibuat Ciger bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol Kuching City, Julian Garcia Schwarzer untuk menafikan kegembiraan awal buat penyokong tuan rumah.

Skrip sama terus dihidangkan kepada penonton selepas itu dengan percubaan merbahaya kedua KDA hadir pada minit ke-25. Melalui percubaan itu, rembatan leret Kapten Sang Kenari, Manuel Ott dari dalam kotak penalti berjaya diselamakan Julian dengan menjulurkan kaki kirinya bagi mengeluarkan bola.

Kekebalan Julian bagaimanapun terlerai dua minit kemudian setelah pertahanan KDA FC, Mohd. Akmal Md. Zahir secara tiba-tiba hadir dari belakang untuk melakukan rembatan terus dari jarak kira-kira 30 meter.

Bola yang cukup deras itu menuju tepat ke sudut kanan atas pintu gol Kuching City tanpa dapat diselamatkan Julian, walaupun dia sempat melayangkan badan.

Tuan rumah mengakhiri separuh masa pertama dengan percubaan tepat Hidalgo menerusi rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti pada minit ke-45, namun bola kemudiannya sekali lagi berjaya didakap kemas Julian yang bersedia di tengah-tengah pintu gol.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah hanya memerlukan empat minit saja bagi menambah jaringan, sekali lagi menerusi Mohd. Akmal untuk kedudukan 2-0.

ZAHRUL Nizwan cuba melarikan bola daripada Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman dalam perlawanan Liga Super antara KDA dan Kuching City di Stadium Darul Aman. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

‘Kegilaan’ KDA untuk terus menambah jaringan tidak berakhir di situ apabila mereka terus menebak pintu gol pelawat pada minit ke-57.

Gol itu bermula dengan lorongan Lee Tuck kepada Hidalgo yang berada dalam kotak penalti lawan. Sayap lincah bertubuh kecil itu menggunakan kemahiran menggelecek untuk memperdaya pertahanan Kuching City, sebelum melepaskan rembatan leret.

Selepas gol ketiga itu, penyerang gantian dari Brazil, Jonathan Balotelli yang masuk menggantikan Willian Lira memiliki dua peluang untuk menjaringkan gol dalam tempoh dua minit pada minit ke-74 dan 75 namun gol yang dicari tidak berjaya dicetak.

Tuan rumah terpaksa menghabiskan tempoh empat minit terakhir perlawanan dengan 10 pemain apabila pertahanan kanan mereka, Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang Kuching City, Abu Kamara.

Namun keadaan itu tidak langsung mengubah rentak permainan apabila mereka terus menguasai perlawanan sehingga wisel penamat ditiup untuk kemenangan 3-0 berpihak Sang Kenari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.