ALOR SETAR: Liga Super 2023 baru memasuki lima perlawanan, namun Ketua Jurulatih Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim sudah tidak sabar menanti jendela perpindahan dibuka bagi mengubah nasib pasukan yang mencatat empat kekalahan berturut-turut.
Kekalahan 3-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Darul Aman kelmarin jelas menampakkan jurang kualiti pemain kedua-dua pasukan sama ada tempatan mahu pun import.
Menurut individu yang cukup berpengalaman dan sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia kejurulatihan itu, semua pihak perlu bersikap realistik mengenai perkara tersebut.
“Sama ada pemain tempatan mahu pun import, perbezaannya cukup ketara. Ini bukan nilai pasukan atau tanda harga pemain kami murah dan mereka mahal tetapi kualiti pemain itu sendiri jelas berbeza.
“Kita harus realistik dalam perkara ini dan sudah tentu perubahan perlu dilakukan apabila jendela perpindahan dibuka nanti.
“Saya tak boleh dedahkan siapa atau bahagian mana yang perlu diubah kerana itu mungkin akan menjejaskan moral pemain.
“Perkara itu akan dibincangkan dengan pengurusan nanti,” katanya selepas perlawanan.

Katanya, sepanjang kariernya sebagai jurulatih, ini kali pertama pasukan dibimbingnya tewas empat kali berturut-turut.
“Kami pasukan baharu dan akan terus dibentuk agar meningkat perlahan-lahan.
“Pasukan ini mungkin akan melakukan pembaharuan apabila jendela perpindahan dibuka nanti tetapi pemain sedia ada tetap perlu baiki diri.
“Sebagai pemain profesional, mereka akan teruskan latihan seperti biasa dan terus tingkatkan usaha menjadi lebih baik,” katanya.