Harimau Selatan mahu jadikan Kelantan FC mangsa terbaharu

Harimau Selatan mahu jadikan Kelantan FC mangsa terbaharu

PEMAIN JDT sudah bersedia menerima kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim hari ini dan turun dengan misi memburu kemenangan. - IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekali sudah ‘duduk’ di takhta Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak rela melepaskannya dan akan turun dengan misi memburu kemenangan keempat berturut-turut apabila menerima kunjungan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.

Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari mengakui, kejayaan membelasah Negeri Sembilan 7-0 dalam aksi terakhir liga di tempat lawan, Isnin lalu meningkatkan keyakinan pasukan untuk mengutip tiga lagi mata di depan penyokong sendiri.

“Selepas merekodkan tiga kemenangan tanpa bolos, saya berpuas hati dengan aksi pasukan yang semakin serasi dan memahami kehendak percaturan.

“Pemain menunjukkan komitmen tinggi, sentiasa melakukan larian dan tidak berputus asa dalam masa sama mempamerkan permainan yang berkualiti.

“Saya harap prestasi ini diteruskan apabila menentang Kelantan. Mereka bukanlah lawan mudah, malah bertahan dengan baik. Mereka cukup bermotivasi setelah merekodkan kemenangan baru-baru ini,” katanya.

Harimau Selatan kini berada di puncak liga mengutip sembilan mata dan telah meledak 12 jaringan tanpa bolos.

Mengenai kecederaan Bergson Da Silva dan Leandro Velazquez, Solari mengakui tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, sebaliknya akan menurunkan bintang import itu apabila cergas sepenuhnya.

Katanya, Leandro hanya mengalami kecederaan ringan dan percaya pemain itu akan kembali menyertai pasukan pada tahap terbaiknya.

“Begitu juga dengan Bergson, saya tidak mahu mengambil risiko yang akhirnya akan merugikan pasukan. Tidak dinafikan dia adalah pemain penting JDT, namun kita ada pengganti yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN