Rekod 60m kebangsaan bakal lebur buat kali ketiga?

Rekod 60m kebangsaan bakal lebur buat kali ketiga?

Muhammad Azeem Fahmi cemerlang lagi di Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rekod kebangsaan bagi acara 60 meter (m) dijangka lebur buat kali ketiga apabila atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi turun beraksi pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC di Trek Tertutup Tyson di Fayetteville, Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini.

Pelari sensasi berumur 19 tahun yang juga penuntut tahun pertama Universiti Auburn itu berkata, dia teruja untuk membuat penampilan sulung dalam kejohanan Southeastern Conference (SEC) iaitu persidangan terbesar universiti di AS yang dijadual bermula, awal pagi Sabtu ini.

“Kejohanan SEC dalam dewan pertama saya minggu ini, satu lagi peluang untuk memperbaiki prestasi,” tulis Azeem menerusi ciapan di Twitter miliknya semalam.

Azeem yang berasal dari Ipoh, Perak mencetuskan impak positif sejak ‘berguru’ di AS apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan dengan catatan 6.63 saat (s) ketika Kejohanan Terbuka Texas Tech & Multi di Texas pada hujung bulan lalu.

AZEEM menunjukkan peningkatan prestasi sejak menjalani latihan dan menyambung pengajian di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat.

Catatan itu membolehkan dia mengatasi rekod 24 tahun yang dipegang Watson Nyambek 6.66s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Azeem kemudiannya terus cemerlang apabila berjaya memperbaiki catatan berkenaan dengan merekodkan 6.62s ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina pada 11 Februari lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Azeem mencetuskan fenomena apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Cali, Colombia.

Dalam pada itu, bapa Azeem, Mohd. Fahmi Tajuid percaya penyertaan di Kejohanan SEC itu bakal memberi pengalaman berharga buat atlet berkenaan yang akan bersaing dengan pelari bertaraf dunia dari universiti yang lain.

“Ini adalah persidangan universiti terbesar di AS. Ramai juga atlet bertaraf dunia yang akan beraksi di kejohanan itu nanti, sudah tentu ini akan memberikan pengalaman yang berharga untuk Azeem…mohon semua doakan yang terbaik untuk Azeem,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.