RABAT: Kejayaan Al Hilal muncul pasukan Arab Saudi pertama mara ke final Piala Dunia Kelab membolehkan mereka menerima ‘durian runtuh’ hampir RM1.7 juta.
Hartawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal memberi bonus 1 juta riyal (RM1.15 juta) kepada setiap pemain selepas mencipta kejutan menewaskan juara Amerika Selatan, Flamengo 3-2 semalam.
Sebagai tambahan, Menteri Sukan, Putera Abdulaziz al-Faisal pula memberi 500,000 riyal (RM574,000) kepada setiap pemain.
Putera Alwaleed, Pengerusi Kingdom Holding Co, adalah penyokong kuat kelab Arab Saudi itu dan mengumumkan di media sosial beliau akan memberikan jumlah wang yang sama jika mereka menang ke atas Real Madrid pada final Ahad ini.
Gergasi Sepanyol itu menewaskan wakil Mesir, Al Ahly 4-1 dalam satu lagi separuh akhir pagi tadi.
“Kemenangan ini mengesahkan kemajuan dicapai bola sepak di negara ini,” kata Putera Abdulaziz al-Faisal dalam satu kenyataan kepada Saudi Press Agency (SPA).
Al Hilal menang menerusi dua sepakan penalti Salem Al Dawsari dan jaringan jarak dekat Luciano Vietto pada babak kedua. – AGENSI