Pelumba muda galas cabaran Yamaha YY Pang

Pelumba muda galas cabaran Yamaha YY Pang

PASUKAN Yamaha YY Pang melancarkan jentera CP 150 dan CP 125 yang akan digunakan dalam Kejuaraan Cub Prix 2023 di Litar Antarabangsa Sepang semalam. – IHSAN CUB PRIX
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pasukan Yamaha YY Pang sudah mendapat pengganti bekas pelumba utamanya, Adib Rosley menjelang perlumbaan pertama Kejuaraan Cub Prix yang membuka tirai secara rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Adib membuat keputusan mengejut meninggalkan pasukan tersebut selepas 15 tahun menabur bakti bagi mencari cabaran baharu bersama Honda YAM Racing musim ini.

Situasi itu memaksa Yamaha YY Pang menaikkan dua pelumba mudanya, Sharul Ezwan serta Idil Fitri Mahadi ke kategori utama, CP 150 untuk bergandingan dengan pelumba utama, Tengku Amirul Haffiruddin.

Tonik tambahan juga buat pasukan yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor itu apabila mendapat tajaan daripada ­minyak pelincir tempatan, Jetron selama dua tahun.

Penajaan itu bermakna mereka kini akan dikenali sebagai Jetron Yamaha YY Pang bagi saingan 2023.

“Kami mengambil pendekatan menggunakan dua pelumba muda dalam kategori utama, CP 150 iaitu Shahrul dan Idil.

“Saya menaruh keyakinan tinggi mereka akan membentuk gandingan terbaik bersama Tengku Amirul bagi mendapat kedudukan podium,” kata penyelaras pasukan, Gary Pang ketika ­Majlis Pelancaran Jentera Pasukan Jetron Yamaha YY Pang di SIC semalam.

Bagi ayam tambatan pasukan, Tengku Amirul, musim ini amat mencabar apabila bukan sahaja ditugaskan memburu kejuaraan, malah berperanan sebagai mentor bagi membimbing dua rakan sepasukan yang akan beraksi di kategori utama buat julung kalinya.

Musim lalu bukanlah musim yang memberangsangkan buat Tengku Amirul dan pasukannya apabila pencapaian terbaik­nya adalah menduduki tangga kelima ketika pusingan ketujuh perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu.

Kedudukan keseluruhan yang dilakar dalam kategori bersama Yamaha YY Pang adalah di tangga kedua tercorot.

“Tahun ini saya akui tugas agak sukar, dan saya juga merasai kehilangan Adib, tetapi tumpuan saya masih mendapatkan podium buat pasukan.

“Lima perlumbaan pertama musim ini akan menentukan segala-galanya, dan saya berharap saingan di Sepang hujung minggu ini akan membawa tuah buat saya dan pasukan,” jelas Tengku Amirul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya