Newcastle sedia tambah derita Liverpool

Newcastle sedia tambah derita Liverpool

KEPULANGAN semula Roberto Firmino (kanan) pada sesi latihan memberi kelegaan buat Liverpool menjelang pertemuan menentang Newcastle esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEWCASTLE: Penyerang Newcastle United, Callum Wilson menolak ‘mitos’ ketiadaan pemain tengah, Bruno Guimaraes menjadi punca pasukannya sukar meraih kemenangan sebaliknya sedia menghukum ­Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park esok.

Skuad kendalian Eddie Howe mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga sejak Ogos, namun ketiadaan Guimaraes yang digantung tiga perlawanan sehingga final Piala Liga pada 27 Februari ini menimbulkan ke­gusaran khususnya berdepan Liverpool.

Newcastle gagal memenangi lima perlawanan mereka sebelum ini tanpa kehadiran Guimaraes dalam kesebelasan utama, namun Wilson tidak merasakan ketiadaan pemain berusia 25 tahun itu bukan punca kepada keputusan diraih The Magpies.

“Dia pemain yang bagus tapi dia hanyalah seorang pemain di bahagian tengah. Dalam bola sepak, anda perlukan 11 pemain untuk bekerjasama meraih kemenangan.

“Memang kami memerlukan pergerakan bola yang lebih laju, dan dia mampu berbuat demikian, dia suka bergerak bersama bola dan mampu meloloskan diri dari ruang yang kecil.

“Kami menantikan kepulangannya dalam pasukan ke­rana ia sungguh mengecewakan mengharungi perlawanan tanpa kelibatnya tetapi saya tidak mengatakan ketiadaanya punca kami seri kebelakangan ini,” jelas Wilson.

Sementara itu, Reds yang mencari satu lagi keputusan positif selepas menumpaskan Everton 2-0, Selasa lalu akan bertandang ke Newcastle tanpa bek tengah, Ibrahima Konate, malah perancang utama, Thiago Alcantara juga tidak kelihatan pada sesi latihan semalam.

Begitupun kepulangan Virgil van Dijk daripada masalah hamstring menggembirakan pengurus pasukan, Jurgen Klopp, begitu juga Diogo Jota dan Roberto Firmino.

Klopp turut memberi amaran ia sesuatu yang tidak masuk akal memikirkan Reds sudah kembali ke prestasi terbaik ha­nya kerana kemenangan ke atas Everton, yang pertama selepas empat perlawanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya